FIESTA 1.0 Kita Kan Kawan berlangsung meriah

Antara aktiviti yang dijalankan di FIESTA 1.0 Kita Kan Kawan
- Advertisement -

KLANG: FIESTA 1.0 `Kita Kan Kawan’ anjuran Lajnah Perpaduan Nasional (LPN) PAS Pusat yang diadakan buat kali pertama berlangsung meriah dengan kehadiran lebih 500 peserta.

Program di Dewan Serbaguna Dato’ Ahmad Razali di sini, hari ini, dimulakan dengan bacaan doa oleh Ustaz Hamdan Abdullah, disusuli pelbagai aktiviti yang menyemarakkan semangat kebersamaan.

- Advertisement -

Pengerusi majlis, Fared Hassan berkata, antara objektif pelaksanaan FIESTA 1.0 adalah untuk memupuk perpaduan nasional, iaitu meningkatkan rasa kebersamaan dan keharmonian antara pelbagai kaum.

Katanya, program itu juga untuk memperkukuhkan kerjasama komuniti melalui projek bersama yang memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang kaum dan agama.

“FIESTA 1.0 juga untuk melestarikan budaya dan tradisi dengan memberikan platform untuk pelbagai kaum, memperkenalkan dan mengekalkan tradisi mereka sambil mempromosikan kesedaran tentang warisan budaya yang pelbagai,” katanya pada majlis pelancaran FIESTA 1.0 `Kita Kan Kawan’.

Turut hadir Naib Presiden PAS yang juga Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Dato’ Sri Amar D’Raja Dato’ Mohd Amar Abdullah; Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato’ Dr Ab Halim Tamuri; Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional yang juga Ahli Parlimen Kapar, Dr Halimah Ali dan dan Setiausaha Perhubungan PAS Selangor, Zaidi Abdul Talib.

Pemimpin lain yang hadir ialah Pengerusi Lajnah Pembangunan Insan dan Kerukunan Keluarga yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang, Dato’ Zailah Mohd Yusoff; Yang di-Pertua PAS Kapar yang juga ADUN Sementa, Noor Najhan Mohamad Salleh; dan ADUN Ijok, Jefri Mejan.

Selain itu, Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Selangor, Dato’ Deepakaran Karuppiah; Ketua Amalnita Pusat, Noor Hanim Ismail; Presiden Muslim Care Malaysia, Zulkifli Wahijan; dan Presiden Kelab Sosial dan Cakna Puncak Alam (iCare), Azwari Mohd Noor.

Sementara itu, sebanyak 18 gerai dibuka sepanjang FIESTA 1.0, iaitu tujuh gerai makanan yang menyajikan pelbagai hidangan tempatan, enam gerai kesihatan yang menawarkan pemeriksaan dan khidmat nasihat percuma serta lima gerai pendidikan yang menyediakan maklumat berguna untuk pembangunan masyarakat. – HARAKAHDAILY 12/1/2025

- Advertisement -