PUF2024 pamer potensi besar ekonomi negeri

- Advertisement -

KANGAR: Perlis Usahawan Fest 2024 (PUF2024) membuka peluang besar kepada usahawan, agensi kerajaan dan pemain industri untuk berkumpul, bertukar idea dan memperluas jaringan kerjasama.

- Advertisement -

Acara itu juga meraikan pencapaian usahawan tempatan dalam mengukuhkan ekonomi negeri.

Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli berkata, festival itu berupaya menjadi pemangkin pembangunan usahawan tempatan dan inspirasi kepada generasi akan datang.

“PUF2024 adalah kesinambungan daripada Tahun Keusahawanan Perlis (TKP) pada 2022 dan Karnival Usahawan serta Digital 2023.

“Objektifnya adalah menyediakan platform untuk menyampaikan maklumat berkaitan bantuan geran, pembiayaan dan khidmat nasihat kepada usahawan,” katanya ketika merasmikan PUF2024 di Dewan Wawasan 2020, di sini hari ini.

PUF2024 berlangsung selama tiga hari bermula hari ini hingga 15 Disember menyaksikan pelbagai program menarik seperti program Business Pitching (Shark Tank), pameran agensi, jualan usahawan dan sesi Pocket Talk.

Aktiviti tambahan seperti eSport, fun run, fun ride, pasar tani khas, jualan rahmah dan saringan kesihatan percuma turut disediakan.

Dalam usahasama dengan Bank Muamalat Malaysia Berhad (BMMB), Kerajaan Negeri Perlis memperuntukkan dana pembiayaan RM3,000 kepada usahawan mikro dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

Setakat ini, 29 penerima telah menerima manfaat tersebut.

Mohd Shukri turut menambah pentingnya keusahawanan dalam membangun ekonomi negeri dan menyokong Tahun Melawat Perlis (TMP) 2024-2025, yang dijangka menarik 3.5 juta pelancong pada tahun 2024.

“Kerajaan komited menyediakan sokongan kepada usahawan melalui akses teknologi, pembangunan kapasiti, dan geran pembiayaan.

“Pembukaan Perlis Inland Port (PIP) tahun depan akan membuka peluang dalam logistik, perdagangan, dan perkhidmatan sokongan,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 13/12/2024

- Advertisement -