
KUALA LUMPUR: Dr. Halimah Ali (PN-Kapar), menggesa kerajaan untuk mengambil pendekatan yang lebih menyeluruh dalam menangani isu ketegangan kaum dan agama yang semakin menular.
Beliau turut menyarankan agar kejayaan perpaduan di Kelantan dijadikan rujukan dalam membangunkan ekosistem perpaduan negara.
Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat itu juga memohon kerajaan menyenaraikan semua insiden ketegangan kaum mengikut negeri, serta menyatakan sumber statistik, punca sebenar, dan tindakan yang telah diambil.
“Timbalan Menteri tadi menyebut mengenai masalah ketegangan agama yang seolah-olah menular. Jadi, saya mohon kerajaan menyenaraikan semua insiden ketegangan kaum mengikut negeri, sumber statistik tersebut, punca sebenar, serta tindakan yang telah diambil,” katanya.
Beliau berkata demikian katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau turut merujuk kepada Dasar Perpaduan Negara yang menekankan tiga teras utama, iaitu ekosistem perpaduan, objektif dasar perpaduan negara, dan usaha membentuk identiti nasional dengan semangat jati diri patriotik, prihatin, toleransi, saling hormat-menghormati, dan bertanggungjawab.
Halimah mempersoalkan sama ada kerajaan telah mengkaji kejayaan ekosistem perpaduan di Kelantan yang, menurutnya, telah wujud secara organik dan natural selama lebih tiga dekad di bawah pentadbiran PAS.
“Kelantan, sedar atau tak sedar 34 tahun telah dibawa PAS yang tidak ada dikongkong pun oleh mana-mana akta telah berlaku secara organik dan natural dan mungkin kejayaan kepimpinan pelbagai kaum dan agama Kelantan dipandu oleh kerajaan yang bijak dan adil,” katanya.
Beliau menambah bahawa keharmonian itu adalah satu bukti wujudnya ruang untuk semua, dengan izin, ‘space for everyone’, dan mencadangkan agar kerajaan menjadikannya sebagai rujukan.
“Kenapa kejayaan ini tidak dirujuk?” soalnya.
Timbalan Menteri Perpaduan, Saraswathy Kandasami dalam jawapannya berkata, Kementerian Perpaduan menjalankan kajian Indeks Perpaduan Nasional (IPNas) setiap dua tahun, yang menunjukkan peningkatan skor dari 2018 hingga 2022, kini berada pada 0.629 dengan sasaran 0.7.
Kajian itu menurutnya melibatkan semua wilayah, negeri, kaum, dan agama, serta faktor seperti etnisiti, agama, pendidikan, bahasa, generasi, gender, politik, urbanisasi, dan media. – HARAKAHDAILY 11/12/2024




















