MAIK turut sumbang keperluan asas untuk mangsa banjir

- Advertisement -

BACHOK: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) meneruskan usaha membantu mangsa banjir dengan menyerahkan sumbangan kepada Pejabat Tanah dan Jajahan Bachok untuk diagihkan kepada mereka yang terjejas.

- Advertisement -

Timbalan Yang Dipertua MAIK, Dato’ Mohd Anis Hussein menyerahkan bantuan berupa keperluan harian kepada Ketua Jajahan Bachok, Shamsul Abu Bakar dalam satu majlis penyerahan di sini hari ini.

Menurut MAIK, bantuan kali ini merangkumi keperluan asas seperti makanan, tuala, selimut, dan susu bayi bagi membantu meringankan beban mangsa banjir yang memerlukan.

Hadir sama pada majlis penyerahan itu Setiausaha MAIK, Muhamad Rasani Ramli dan Pegawai Agihan Zakat MAIK, Siti Farahida Fauzi serta Ketua Penolong Ketua Jajahan (Pembangunan), Masleza Muhammad.

Langkah proaktif ini menunjukkan keprihatinan MAIK dalam membantu komuniti yang terkesan akibat bencana banjir yang melanda Kelantan baru-baru ini.

Sementara itu, jumlah mangsa banjir di Daerah Bachok seramai 5,338 orang dari 1,558 keluarga setakat pukul 11:46 pagi ini dan mereka ditempatkan di 13 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di daerah berkenaan.

Dalam usaha membantu mangsa banjir dan kalangan yang terkesan bencana tersebut, para pembaca Harakahdaily boleh turut sama membantu dengan menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban mereka.

Keprihatinan anda menerusi sumbangan kewangan boleh dibuat ke Tabung Kemiskinan Harakah (TKH) menggunakan akaun Maybank 5640 7013 0442 atas nama Parti Islam Se-Malaysia (PAS) – Jabatan Penerangan. – HARAKAHDAILY 2/12/2024

- Advertisement -