
KUALA LUMPUR: Timbalan Yang-Dipertua PAS di kawasan Tawau merangkap Pengarah Madrasah Darul Hidayah Sg. Iman, Mohd Nasir Che Ali telah menghembuskan nafas terakhir pada hari ini (30 Ogos).
Sehubungan itu, Pemuda PAS Malaysia melalui acebook Pemuda PAS Malaysia, mengucapkan takziah kepada setiap ahli keluarga beliau mengenai perkara tersebut dan mendoakan agar beliau ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan mendapat rahmat Allah SWT.
“Semoga keluarga Allahyarham diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi ujian ini,” ujar kenyataan itu.
Mohd Nasir Che Ali merupakan Timbalan Yang-Dipertua PAS Tawau dan merupakan antara tokoh yang bertanggungjawab mempromosikan Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) kepada masyarakat di Sabah.
Menurut laporan HarakahDaily sebelum ini, beliau juga pernah terlibat dalam pengurusan institusi tersebut bagi mengajar agama Islam kepada masyarakat di negeri tersebut memandangkan pada tahun 1980-an pusat pendidikan Islam agak sukar ditemui di sana.
Jasa beliau telah membuahkan hasil yang mana pada hari ini PASTI di Sabah sudah mula berkembang di kawasan lain sekitar Sabah kerana permintaan daripada masyarakat yang semakin tinggi dengan kesedaran tentang kepentingan pembelajaran tentang Islam semakin meluas.
Semoga Allah SWT memberkati jasa beliau di dunia dan akhirat. – HARAKAHDAILY 30/8/2024




















