150 tilam diedar untuk mangsa banjir Masjid Tanah

- Advertisement -

MASJID TANAH: Sebanyak 150 unit tilam boleh lipat diedarkan kepada rumah-rumah yang terlibat dengan musibah banjir yang telah berlaku dalam Parlimen Masjid Tanah baru-baru ini.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin berkata, tilam-tilam tersebut adalah sumbangan daripada Pertubuhan Ikatan Cina Melaka sebuah NGO yang aktif dalam aktiviti kebajikan.

“Alhamdulillah, walaupun kami Pusat Khidmat tiada peruntukan kerajaan, tetapi ada NGO-NGO yang tampil membantu di saat rakyat Masjid Tanah kesusahan berdepan musibah.

“Saya ucapkan terima kasih kepada Ketua Penerangan NGO Pertubuhan Ikatan Cina Melaka, saudara Bryan Goh Han Meng yang turut bersama pada program hari ini. Atas usaha beliau kita dapat bantuan dari NGO ini,” katanya.

Jelas beliau, semenjak Pusat Khidmat beliau tidak lagi menerima peruntukan kerajaan, aktiviti bantuan kepada rakyat dibiayai melalui sumbangan pihak-pihak seperti NGO dan individu yang dermawan.

Beliau yang Ketua Bahagian BERSATU Masjid Tanah itu berkata, tilam dipilih sebagai sumbangan untuk mangsa banjir memandangkan ia merupakan antara keperluan rumah banyak mengalami kerosakan pada banjir tersebut.

“Banjir kali ini di kebanyakan tempat mencecah paras pinggang. Jadi memang kebanyakan mangsa banjir di rumah-rumah mereka memang tilam-tilam mereka ni rosak dan terpaksa dibuang.

“Ini yang kami lihat sendiri semasa kami membantu mengemaskan rumah-rumah mangsa banjir usai banjir surut masa tu. Kerana itu kita sumbangkan tilam,” ujarnya.

Katanya, proses mengedarkan tilam-tilam tersebut bermula semalam (Khamis) dan dijangka selesai pada Sabtu melibatkan kesemua kawasan yang terlibat dalam banjir tersebut.

Tambah beliau, dalam situasi tidak mempunyai peruntukan kerajaan itu pihaknya masih berkhidmat dengan cara yang tidak melibatkan kos tinggi antaranya ialah dengan menjalankan aktiviti membersihkan rumah mangsa-mangsa banjir.

“Saya ucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang membantu terutama dari Jabatan Amal Malaysia (JAM) dari seluruh Melaka yang datang pada masa tu.

“Saya juga difahamkan sesetengah anggota Jabatan Amal ini datang dari Johor dan Selangor. Kami sangat menghargai bantuan yang diberi,” katanya kepada _Harakahdaily_ sewaktu program edaran tilam tersebut di sekitar kawasan Ramuan China, di sini pagi tadi.

Sementara itu, Yang Dipertua PAS Kawasan Masjid Tanah, Ustaz Imran Abdul Rahman yang turut sama dalam program itu berkata, pihaknya sentiasa bersedia membantu Pusat Khidmat Parlimen Masjid Tanah dalam aktiviti-aktiviti kemasyarakatan seperti itu.

“Kami di Masjid Tanah ini memang mempunyai hubungan yang sangat rapat antara PAS dengan BERSATU dan GERAKAN di mana program-program begini kita buat bersama-sama.

“Dengan segala kekurangan tetapi kami tetap saling membantu dalam kerja-kerja memberi khidmat kepada rakyat. Susah sama-sama susah, senang sama-sama senang,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka menambah, pihak Kerajaan Negeri harus menjalankan langkah segera untuk mengatasi masalah banjir itu.

“Seperti yang kita tahu, Bandar Masjid Tanah itu tidak pernah banjir begitu sejak tahun 2008 sebab sudah ada kolam tebatan banjir. Mengapa kali ini tiba-tiba berlaku?

“Kena tengok apa-apa isu perparitan, longkang jika ada yang tidak diselenggara atau perlu dibesarkan kena diperbesarkan. Rakyat rugi banyak sebab kerosakan barang-barang mereka bila banjir seperti ini,” katanya.

Banjir yang bermula di Bandar Masjid Tanah pada Ahad petang 11 Ogos lepas dan kemudiannya merebak ke kawasan-kawasan lain dalam Parlimen Masjid Tanah itu disifatkan penduduk tempatan sebagai terburuk dalam tempoh lebih 10 tahun.

Ia turut melibatkan pembukaan sebanyak sembilan buah Pusat-pusat Pemindahan Sementara (PPS) dengan mangsa tertinggi direkodkan berada di PPS ialah pada Isnin 12 Ogos iaitu seramai 419 orang. – HARAKAHDAILY 30/8/2024

- Advertisement -