
GEORGE TOWN: “Cukup menjengkelkan apabila Pakatan Harapan (PH) berlagak ‘suci’ dan kononnya bakal menjadi jaguh dalam isu air sekiranya diberi kemenangan.”
Naib Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang, Hafis Albaghoni berkata, PH telah memerintah Pulau Pinang sejak tahun 2008 dan memegang tiga penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap yang diwakili Parti Keadilan Rakyat (PKR), namun masalah air khususnya di DUN tersebut yang berlaku sejak enam tahun lalu tidak pernah selesai.
“Suara-suara rakyat tidak diberi perhatian sewajarnya biarpun satu himpunan penduduk menuntut hak air bersih diadakan di hadapan DUN Pulau Pinang pada tahun 2022, sehinggalah Abang Zam membawa suara penduduk ke dalam sidang dewan sebagai satu usul penting untuk dibahaskan. Barulah isu ini diberi perhatian.
“Sayangnya,sekadar perhatian yang tiada tindakan. Adapun pengumuman-pengumuman projek mega yang dibuat hanyalah wayang dan sedikitpun tidak dapat menyelesaikan masalah air di Mukim 5 Sungai Bakap,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, cukup berbeza sikap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sebelumnya daripada PKR dan kerajaan negeri yang dipimpin oleh Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang, Chow Kon Yeow jika dibandingkan dengan kesungguhan Abang Zam untuk menyelesaikan isu ini sebaik sahaja menggalas amanah sebagai ADUN.
“Cukuplah penderitaan rakyat selama enam tahun berbicara bagaimana hipokritnya Pakatan Harapan dalam hal ini.
“Perjuangan Abang Zam akan diteruskan oleh Saudara Abidin. Rakyat Sungai Bakap mesti kekalkan calon Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) kali ini,” katanya.
PRK Sungai Bakap bakal diadakan pada 6 Julai depan selepas kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff atau dikenali sebagai Abang Zam akibat keradangan dalam perut.
Susulan itu, PN mempertaruhkan Abidin Ismail, atau mesra disapa Abang Abidin bagi mempertahankan kerusi DUN berkenaan. – HARAKAHDAILY 28/6/2024




















