Penghantar FoodPanda berhak untuk bela diri

Sebahagian penghantar Foodpanda berkumpul di ibu pejabat Foodpanda di Southgate Southgate Commercial Center, Kuala Lumpur menuntut bayaran kadar upah yang setimpal dengan perkhidmatan mereka dikaji semula. (FOTO: Ehailing.fm)
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pekerja syarikat perkhidmatan penghantaran makanan dalam talian, FoodPanda perlu diberikan hak untuk membela diri apabila berlakunya sebarang ketidakadilan terhadap nasib mereka.

Timbalan Presiden Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia, Abdul Hakim Abdul Rani berkata, pihaknya menggesa syarikat FoodPanda supaya mengenakan semula bayaran yang setimpal kepada  penghantar Foodpanda mengikut lingkaran kawasan penghantaran. 

“Sebagai contoh, kurang lima kilometer (km) penunggang ‘batch 1’ dibayar upah RM7, ‘batch 2’ dibayar sebanyak RM6  manakala ‘batch 3’ pula ialah RM5.

- Advertisement -

“Jika jarak adalah melebihi 5km maka ‘batch 1’ akan menerima tambahan RM1 untuk setiap km, manakala ‘batch 2’ menerima 80 sen dan ‘batch 3’ pula dibayar sebanyak 50 sen.

“Ini penting kerana mereka memerlukan wang yang cukup lebih-lebih lagi dalam menghadapi kenaikan kos sara hidup yang semakin tidak terkawal. 

“Syarikat itu sendiri kena menghargai jasa penghantar Foodpanda  kerana jika tiada mereka, maka syarikat Foodpanda itu sendiri pun tidak akan wujud,” katanya kepada Harakahdaily, hari ini.

Abdul Hakim Abdul Rani

Beliau berkata demikian susulan perhimpunan lebih 100 penghantar Foodpanda di hadapan Ibu Pejabat Foodpanda, di Southgate Commercial Center, di sini, semalam.

Menurut Abdul Hakim, penghantar Foodpanda kini berasa tidak berpuas hati dan tertekan selepas syarikat itu telah bertindak mengurangkan kadar bayaran upahan lebih-lebih lagi melibatkan penghantaran di luar zon.

“Syarikat FoodPanda telah melaksanakan sistem pembesaran zon yang berbeza dengan sistem jadual dan batch yang diamalkan oleh para penunggangnya sejak sekian lama,” ujarnya.

Tambah beliau, sistem pembesaran zon tersebut adalah tidak efisien kerana membuka ruang kepada pelbagai masalah yang mana satu daripadanya merupakan pertindihan pesanan.

“Sebagai contoh, setiap penunggang FoodPanda perlu mengambil jadual bekerja yang mana jadual tersebut dipilih berdasarkan masa, hari, batch dan kawasan yang dia beroperasi.

“Namun begitu, kini syarikat FoodPanda memperkenalkan system baharu iaitu ‘switching area’ iaitu membolehkan para penunggangnya menghantar pesanan di luar zon kawasan bekerja yang sedia ada yang mana jarak penghantaran boleh mencecah hampir 35 km.

“Ini akan menyebabkan berlakunya masalah utama seperti pertikaian yang melibatkan tatacara pengendalian piawai (sop) dan petunjuk prestasi utama (kpi) para penunggangnya.

“Malah, sistem ini membawa kepada satu lagi masalah iaitu isu penggantungan dan waktu rehat penghantar Foodpanda itu sendiri. 

“Mereka sudah pun terbeban dengan kadar bayaran upah yang sedikit dan jika membuat penghantaran jauh pun tidak berbaloi, maka sudah tentu mereka akan menolak pesanan tersebut. 

“Namun, apabila mereka melakukan sedemikian pula akan dikenakan tindakan pula seperti direhatkan, digantung kerja selama satu hingga tiga hari sekiranya terlalu banyak menolak pesanan dan jika kesilapan tersebut diulang berkali-kali, mereka boleh ditamatkan kontrak bekerja,” jelasnya.

Nasib masa depan golongan penghantar Foodpanda di Malaysia memerlukan pembelaan hak yang sewajarnya.

Beliau juga menambah bahawa syarikat FoodPanda telah pun melakukan potongan terus terhadap mana-mana penunggangnya tanpa ada siasatan secara mendalam jika terdapat aduan daripada pelanggannya walaupun pesanan sudah pun dihantar.

“Satu daripada tindakan tersebut ialah dengan memotong gaji penghantara Foodpanda termasuklah mengenai isu GPS palsu walaupun mereka tidak melakukan perkara tersebut,” katanya.

Terdahulu, dalam perhimpunan semalam Pengerusi Sekretariat Komuniti Gig Malaysia, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin dilaporkan telah mewakili mewakili penghantar Foodpanda menyerahkan memorandum kepada Pengarah Operasi Foodpanda, Shubham Saran.

Lebih 100 pekerja syarikat perkhidmatan penghantaran makanan dalam talian, Foodpanda berhimpun untuk menyerahkan memorandum supaya sistem baharu yang diperkenalkan syarikat itu dikaji semula.

Dalam pada itu, Mohd Sharkar berkata, syarikat Foodpanda memberikan jaminan bahawa setiap penghantar akan menerima sekurang-kurangnya RM10 sehingga RM12 setiap jam sementara syarikat itu mengkaji semula kelemahan sistem mereka.

Syarikat Foodpanda juga memerlukan maklum balas daripada penghantar untuk mencari penyelesaian dan kaedah yang terbaik bagi keuntungan semua pihak Foodpanda, penghantar, vendor dan juga pelanggan.

“Maklum balas tuntutan penghantar Foodpanda, terutama mengenai upah mengikut lingkaran kawasan penghantaran akan diberi dalam tempoh sebulan,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/6/2024

- Advertisement -