
KUALA LUMPUR: “Saya tidak ada sebarang masalah untuk memberikan kerjasama kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung tunjuk perasaan aman pro-Palestin di hadapan Pintu Utara Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur pada 6 hingga 9 Mei yang lalu.”
Jurucakap Sekretariat Solidariti Palestin, Tian Chua berkata, beliau telah datang di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul pada hari ini (15 Mei) untuk memberi keterangan berhubung dengan isu tersebut.
“Pada ketika itu merupakan pelaksanaan Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (DSA-NATSEC) 2024, yang mana kami melakukan sedemikian bagi menunjukkan solidariti bersama-sama rakyat Palestin,”katanya ketika ditemui Harakahdaily, di sini, hari ini.
Turut hadir ialah Presiden Sejagat, Syed Sheikh Al-Attas Syed Hassan.
Menurut beliau, perhimpunan aman tersebut juga bertujuan bagi menggesa pihak kerajaan untuk menghalang syarikat Lockheed Martin dan BAE Systems daripada turut serta dalam pameran tersebut.
Tambahnya, kedua-dua syarikat tersebut telah bertanggungjawab membekalkan senjata kepada negara haram Israel dalam melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin.
“Namun begitu, kedua-dua syarikat tersebut tetap turut serta dalam pameran tersebut dan ini jelas bertentangan dengan prinsip negara ini yang sememangnya bersama-sama dengan perjuangan Palestin.
“Seharusnya kerajaan perlu berhati-hati dengan isu sebegini kerana kita tidak mahu mana-mana syarikat yang menyumbang kepada pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin untuk turut serta dalam pameran-pameran sebegini.
“Tambahan pula, majoriti rakyat negara ini benar-benar menyokong perjuangan Palestin itu sendiri,” tegasnya.
Beliau menyatakan adalah tidak wajar untuk pihak kerajaan melakukan siasatan mengenai perhimpunan aman Pro-Palestin tersebut memandangkan ia selaras dengan prinsip kerajaan itu sendiri yang menyokong rakyat Palestin.
Kata beliau lagi, penglibatan syarikat Lockheed Martin dan BAE Systems dalam DSA-NATSEC 2024 itu sendiri juga boleh menimbulkan salah tafsir oleh majoriti rakyat negara ini yang jelas menyokong Palestin.
“Apa pun saya akan memberikan kenyataan selanjutnya setelah selesai memberi keterangan kepada pihak polis nanti,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/5/2024




















