‘All Eyes on Rafah… who’s that?’

Dua aktres ternama Hollywood, Susan Sarandon dan Melissa Barrera memuatkan naik di Instagram masing-masing poster seruan gencatan senjata di Gaza, #AllEyesOnRafah...Ceasefire NOW susulan serangan terbaharu Zionis Israel ke atas Rafah. (FOTO: Tangkapan skrin Instagram)
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tular video di platform Instagram mengenai seorang selebriti tempatan yang dikhuatiri tidak cakna dan sensitif mengenai apa yang sedang berlaku terhadap saudara Islam Palestin, khususnya di Semenanjung Gaza pada ketika ini.

Ia adalah susulan tindakannya bertanya semula kepada seorang netizen ketika sesi siaran langsung di platform Instagram semalam tentang siapakah ‘All Eyes on Rafah’ hingga kemudiannya mengundang kecaman ramai.

Oleh yang demikian, netizen mula membuat perkongsian di media sosial masing-masing dengan menyifatkan individu tersebut tidak wajar bertindak sedemikian.

- Advertisement -

Pengguna TikTok, @kakakpamasi kesal dengan tindakan selebriti terkenal tersebut yang tidak begitu cakna dalam isu Palestin.

“Seriuslah, sendu-sendu dia (selebriti) pun, aku minat sangat. Tapi sekarang.. selamat tinggal, kecewa,” tulis netizen berkenaan.

Seterusnya, pengguna Instagram, @_aii_muhd yang selama ini sayang akan selebriti tersebut, kini tidak lagi oleh kerana video tersebut telah meluas begitu cepat.

“Saya sayangkan awak, tapi oleh kerana video awak telah tular dan komen (netizen) terhadap awak sangat menjengkelkan dan tidak peka (tentang Rafah), jadi selamat tinggal awak. Semoga Allah SWT sentiasa merahmati kamu,” ungkapnya.

Peta menunjukkan kedudukan Rafah di selatan Semenanjung Gaza yang dikhuatiri menjadi lokasi terbaharu genosid oleh tentera Zionis Israel. (FOTO: PBB)

Di samping itu, pengguna Facebook, Norosyati Annuar, berkata perkara sedemikian tidak sewajarnya berlaku kerana perkara ini amat sensitif oleh semua pihak tidak kira usia. 

“Kalau tanya anak-anak kecil pun mereka tahu apa itu Rafah. Perkara ini bukan baru, sudah berbulan-bulan saudara-saudari dan anak-anak kecil kita di sana (Palestin) menjadi mangsa pembunuhan beramai-ramai. Allahuakbar,” katanya.

Selain itu, pengguna X (terdahulu Twitter), @nazreen00, berkata, selebriti dan juga pempengaruh media sosial berupaya menjalankan peranan semak imbang dalam isu penting sebegini dalam masyarakat.

Selebriti Malaysia, Bella Astillah turut prihatin dengan nasib penduduk Palestin, khususnya di Rafah pada ketika ini. (FOTO: Tangkapan skrin Instagram)

“Sebagai artis dia kena main peranan juga untuk bersuara isu Palestin macam Selebriti terkenal, Dato’ Siti Nurhaliza itu buat. Ini tak, Rafah pun tak tahu memang jenis tak ambil tahu atau tinggal dalam gua,” tegasnya.

Sementara itu pengguna Facebook, SF Zulaikha AzharLina bertekad mahu memboikot selebriti tersebut dengan menyekat akaun media sosialnya sebagai pengajaran kepada penyanyi tersebut.

“Baik, kecil punya hal saja kalau begini cara dia. Masuk saja dalam senarai hitam netizen. Mana-mana hal pun, hanya netizen Malaysia yang perlu mainkan peranan untuk semua perkara.

“Kuasa netizen, selebriti tersebut yang patut disenarai hitam dan tidak perlu mengikuti beliau di mana-mana media sosial. Jom ramai-ramai boikot dia,” katanya.

Bagaimanapun, setakat ini, belum ada sebarang kenyataan terbaharu dikeluarkan oleh selebriti tersebut bagi menjelaskan situasi. 

Terdahulu beberapa artis terkenal Hollywood termasuk Susan Sarandon dan Melissa Barrera, selain artis tempatan, Bella Astillah telah memuat naik poster #AllEyesOnRafah…Permanent Ceasefire NOW dalam Instagram masing-masing sebagai tanda solidariti mereka terhadap nasib penduduk Palestin di Semenanjung Gaza, khususnya di Rafah yang pada bila-bila masa sahaja akan diserang tentera Zionis Israel. – HARAKAHDAILY 15/5/2024

- Advertisement -