
KOTA BHARU: Pakatan Harapan (PH) dianggap tidak boleh berbangga kerana berjaya mengekalkan DUN Kuala Kubu Bharu (KKB) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sabtu lalu kerana ada ‘gula-gula pilihan raya’.
Pensyarah Psikososio universiti awam Dr Zulkeflee Yaacob berkata, kenyataan seorang menteri mengumum peruntukan sebanyak RM5.21 juta kepada Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) menjelang PRK Kuala Kubu Bharu sebagai tidak wajar.
Katanya, umpan projek tersebut mungkin tidak dibuat sekiranya tiada PRK.
“Begitu juga pengumuman kenaikan gaji penjawat awam pada Disember hadapan sedikit banyak memberi kesan sehingga undi awal berpihak kepada PH,” katanya di sini.
Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada kenyataan sebelum ini memmberitahu peruntukan RM5.21 juta membabitkan 14 projek bernilai RM4.82 juta akan dilaksanakan oleh MPHS dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).
Katanya, sebanyak RM4.16 juta disalur melalui MPHS, manakala RM664,000 disalurkan kepada MPKK di Hulu Selangor.
Pada 1 Mei lepas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumum skim gaji penjawat awam akan dinaikkan lebih 13 peratus pada Disember 2024.
Malah, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menyifatkan PH melanggar garis panduan mengenai pilihan raya yang bersih.
Dr Zulkeflee yang juga Penasihat Jawatankuasa Keluarga, Wanita dan Kebajikan Kelantan berkata, pelanggaran etika pilihan raya tidak menggambarkan perjuangan lama PH sebelum menerajui kerajaan.
“Kecaman keras PH terhadap penggunaan jentera dan fasiliti kerajaan ketika berada di posisi pembangkang hanya sekadar retorik politik.
“Sekarang selepas menerajui kerajaan apa yang diperjuangkan PH sebelum ini dilanggar dengan mudah,” ujarnya.
Menurutnya juga Perikatan Nasional (PN) gagal merampas kerusi tersebut antaranya disebabkan ramai tidak keluar mengundi kerana pelbagai kekangan.
Bagaimanapun kata beliau gelombang anak muda pada Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) lepas masih kekal di Kuala Kubu Bharu berdasar pengundi muda bawah 40-an kekal mengundi PN. – HARAKAHDAILY 15/5/2024











