
KUALA LUMPUR: Sejauh mana kriteria itu diguna pakai dalam menentukan atau memberikan taraf kewarganegaraan kepada rakyat di negara ini?
Senator Abdul Nasir Idris mengutarakan persoalan itu dalam soalan tambahan pada sesi jawab lisan, di Dewan Negara, di sini, hari ini.
Sehubungan itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah dalam jawapannya berkata, tiga proses saringan perlu dilalui oleh pemohon sebelum mereka diterima sebagai warga negara Malaysia.
“Berhubung dengan pengetahuan bahasa Melayu, melalui Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), kita melaksanakan beberapa proses saringan.
“Antaranya melalui ujian bertulis, temuduga secara lisan, bersemuka melalui Ujian Pengetahuan Bahasa Melayu (UPBM) terhadap permohonan kewarganegaraan di bawah Perkara 16 dan 19 perlembagaan persekutuan,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pemohon kewarganegaraan di bawah Perkara 16 lembaga persekutuan hendaklah mempunyai pengetahuan asas Bahasa Melayu.
Tambahnya, bagi pemohon kewarganegaraan di bawah Perkara 19 pula perlu mempunyai pengetahuan yang mencukupi berkaitan Bahasa Melayu.
“Maknanya ini perkara yang diberi keutamaan kerana ia syarat yang termaktub dalam perlembagaan,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/12/2023




















