
KUALA LUMPUR: Pendidik dengan kemahiran literasi digital lanjutan yang merangkumi hanya sebanyak 5 peratus menimbulkan persoalan tentang apakah perancangan kerajaan terhadap golongan tersebut dalam proses pendigitalan pendidikan di Malaysia.
Senator Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai ketika mengemukakan soalan tambahan dalam Sesi Soal Jawab Lisan di Dewan Negara, di sini, hari ini, telah mengutarakan perkara tersebut.
“Tadi Menteri (Pendidikan) ada mengatakan sebanyak 22% (pendidik) berada dalam peringkat asas (basic level) manakala 76% merupakan peringkat pertengahan (intermediate level).
“Jadi saya mohon Menteri mengatakan apakah perancangan Kementerian Pendudikan Malaysia (KPM) untuk menggunakan sepenuhnya set kemahiran pendidik yang 5% iaitu yang mempunyai kemahiran literasi digital lanjutan?” hujahnya.
Sehubungan itu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dalam jawapannya berkata, kerajaan akan memastikan bahawa pendidik sebegitu akan memainkan peranan dalam melatih golongan pendidik yang terdiri daripada peringkat asas dan pertengahan.
“Ini termasuklah dalam menyediakan kandungan instrumen pendigitalan, latihan peningkatan kompetensi dan kurikulum program pendidikan.
“Kompetensi latihan sebegini juga akan melibatkan sinergi daripada pelbagai pihak dan akan dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi memastikan dasar pendigitalan pendidikan ini mencapai matlamatnya,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/12/2023




















