Kerajaan longgarkan semula penjualan arak di KL

Annuar Musa
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tindakan kerajaan melonggarkan semula penjualan arak (liquor) di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur  telah menimbulkan perasaan dukacita mantan Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa.

“Saya dukacita dengan keputusan kerajaan melonggarkan semula kawalan ke atas penjualan arak, yang sudah pun kita ketatkan ketika saya selaku Menteri Wilayah Persekutuan,” katanya dalam kenyataan susulan laporan akhbar The Star pada 29 Nov 2023 bertajuk, Limits on Liquor Sale in KL Lifted.

Beliau berkata, kerajaan ketika membuat keputusan mengetatkan penjualan arak di Wilayah Persekutuan akhir 2011 telah mengadakan rundingan yang intensif dengan pelbagai pihak berkepentingan (stakeholders). 

- Advertisement -

“Kita juga telah mengkaji kawalan yang dikenakan negara lain termasuk Singapura dan United Kingdom.

“Kerajaan ketika itu juga mengambil maklum keresahan rakyat apabila berlaku banyak peristiwa yang dikaitkan dengan kes mabuk dan minuman keras,” ujarnya yang kini merupakan ahli PAS.

Menurutnya, tidak ada satu alasan kukuh melonggarkan semula kawalan penjualan arak kecuali desakan berterusan daripada pihak yang mahu membuat keuntungan lumayan dari penjualan arak.

“Saya merayu kepada YAB Perdana Menteri selaku menteri yang bertanggungjawab terhadap Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, melihat semula akan keputusan ini.

“Saya harap janganlah keresahan rakyat dan orang awam terhadap isu ini diremeh begitu sahaja, dan secara perlahan-lahan negara bergerak semula ke arah yang salah semata- mata kerana kelompok tertentu yang dilihat semakin berkuasa dan menguasai,” katanya.  HARAKAHDAILY 1/12/2023

- Advertisement -