
KUALA LUMPUR: Sabri Azit (PN-Jerai) meminta penjelasan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkaitan kesediaan menjalankan imunisasi vaksin cacar monyet sekiranya perlu bagi mencegah virus tersebut dari menular.
Beliau berkata, sungguhpun begitu, kebolehjangkitan virus itu lazimnya lebih rendah berbanding virus Covid-19.
“Adakah pihak kementerian bersedia meneliti langkah berjaga-jaga seterusnya bagi mencegah cacar monyet?
“Sebagai contoh, perancangan untuk menjalankan imunisasi vaksin membabitkan virus cacar monyet sekiranya wujud keperluan walaupun kebolehjangkitan cacar monyet ini lazimnya jauh lebih rendah berbanding Covid-19,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Timbalan Menteri Kesihatan, Tuan Lukanisman Awang Sauni dalam jawapannya berkata, kerajaan sentiasa meneliti pengesanan dan saringan yang dibuat di pintu masuk imigresen negara.
“Di pintu-pintu masuk dibuat pengesanan dan saringan yang teliti, begitu juga bagi pelancong dalam negara yang ke luar negara sentiasalah berhati-hati.
“Kesemua jangkitan yang berlaku ketika ini kebanyakannya disebabkan oleh aktiviti yang mereka lakukan sehingga menyebabkan terkena jangkitan cacar monyet,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/11/2023




















