Rasionalisasi pemberian subsidi dan pembaharuan cukai 

Tuan Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Subsidi merupakan pemberian bagi meringankan beban rakyat dengan menampung sebahagian kos yang perlu dibayar bagi mendapatkan barangan keperluan, perkhidmatan pengangkutan dan pembiayaan daripada pelbagai dana yang disediakan.

- Advertisement -

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pemberian subsidi oleh pihak kerajaan di negara ini adalah bagi menstabilkan harga barangan atau harga perkhidmatan dalam usaha tertentu untuk membantu mengurangkan bebanan kewangan rakyat.

“Pemberian subsidi bahan api pada masa ini bertujuan untuk mengurangkan kenaikan kos sara hidup susulan peningkatan harga bahan api di pasaran terutamanya golongan berpendapatan rendah dan sederhana,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Tuan Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz yang bertanyakan tentang adakah langkah rasionalisasi subsidi dan pembaharuan cukai dapat memberi impak kepada golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana di Dewan Negara, di sini,  hari ini.

Tambah Ahmad Maslan, bagi melindungi pengguna daripada kesan kenaikan sebenar minyak mentah di pasaran global, kerajaan masih mengekalkan harga syiling petrol RON 95 pada kadar RM2.05 seliter dan disel pada kadar RM2.15 seliter hingga kini. 

Sungguhpun harga di pasaran sebenar bagi kedua-dua produk telah melebihi paras harga syiling yang telah ditetapkan.

Pelaksanaan pemberian subsidi bersasar sedang dipertimbangkan dan dijangka tidak akan meningkatkan kos kepada industri sedia ada.

“Kita akan bermula dengan pemberian subsidi disel yang dijangka pada bulan Mac 2024, dan seterunya RON95 pada bulan yang seterusnya.

“Bagi memastikan harga barangan tidak naik, subsidi bagi kenderaan yang membawa barangan akan terus kekal.  Jadi, tidak ada sebab harga barang boleh naik kerana harga kenderaan yang membawa barangan kekal sebanyak RM2.15.

“Bagi kenderaan perseorangan yang berada di Sabah dan Sarawak, pihak kerajaan masih mengekalkan harga disel.

“Bagi nelayan pula, kita akan kekalkan harga minyak disel lagi rendah iaitu RM1.65 walaupun telah diberikan subsidi bersasar kepada mereka.

“Pengangkutan awam pula seperti bas dan bas sekolah masih dikekalkan pada harga RM1.88 sen walaupun diberikan subsidi bersasar,” jelasnya. 

Sehubungan itu, Ahmad Maslan turut memberitahu berhubung polisi berkaitan cukai akan mengambil kira kesan terhadap ekonomi dan kos sara hidup rakyat.

“Pihak kerajaan sentiasa mengawasi kedudukan ekonomi semasa dan mempertimbangkan langkah-langkah fiskal yang bersesuaian dengan keperluan jangka pendek dan sederhana,” ujarnya lagi.

“Kerajaan juga, tambah beliau, akan mengadakan libat urus dengan semua pihak berkepentingan bagi mengkaji aspek pembaharuan sistem percukaian negara. 

“Penguatkuasaan undang-undang dan penguatkuasan negeri diharapkan dapat  membanteras ketirisan dan berusaha mewujudkan golongan peniaga yang beretika untuk memastikan rakyat dan pengguna dilindungi,” katanya.  HARAKAHDAILY 27/11/2023

- Advertisement -