
SHAH ALAM: Dewan Ulamak PAS perlu berwajah baharu selaras dengan perkembangan terkini dunia politik negara.
Naib Presiden PAS, Dato’ Sri Amar Diraja Mohd Amar Abdullah berkata, dalam menghadapi onak dan ranjau dunia politik; dan memastikan PAS terus relevan, maka apa yang yang perlu dilakukan ialah memperkemaskan organisasi parti ini di semua peringkat.
“PAS hari in bukan PAS 20 tahun, 30 tahun, 50 tahun atau 60 tahun lalu kerana kini PAS berada dalam keadaan berbeza.
“Ini kerana dalam perjalanan politik negara, PAS sudah kian terlalu hampir dengan kuasa. Pilihan raya akan datang nanti, kita akan jadi kerajaan yang kukuh. Dulu lagi kita sepatutnya menang, tetapi kita kalah kepada PH (Pakatan Harapan),” katanya.
Beliau menyatakan demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian Muktamar Dewan Ulamak PAS Pusat kali ke-62 di IDCC, di sini, hari ini.
Turut hadir ialah Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat,Dato’ Ahmad Yahaya, Timbalannya, Tuan Guru Zulkifli Ismail dan Naib Ketua, Ustaz Khirul Muntaruzar Ismail.
Menurutnya lagi, ada hikmah di sebalik kenapa PH diberikan mandat selama 22 bulan untuk memimpin negara ini.
“Tuhan nak tunjuk adakah (Perdana Menteri, Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) mampu memimpin negara ini dengan baik.
“Setakat ini belum nampak tanda-tandanya,” ujarnya yang menambah bahawa ia juga adalah cara Tuhan menunjukkan bahawa parti lain tiada keupayaan memimpin negara dengan baik.
“Ini bermakna negara perlukan kerajaan baharu. Siapa kalau tidak kita (PAS dan PERIKATAN NASIONAL). Justeru, tempoh lima tahun akan datang (sebelum Pilihan Raya Umum ke-16) adalah sangat penting.
“Kita sudah kuasai empat negeri dan dua pertiga negeri Selangor, jadi dalam lima tahun ini kita perlu buktikan kita boleh perform (mentadbir) dengan baik. Kita tak boleh, tak perform,” tegas.
Sehubungan itu, beliau menegaskan Dewan Ulamak PAS harus menjadi ‘think tank’ kepada kerajaan negeri dalam pembangunan dan pentadbiran.
“Justeru, kita perlu mempersiapkan asas ilmu untuk itu. Kita lihat pertembungan politik Malaysia sekarang adalah antara PAS dan DAP, sudah nampak tanda-tanda selepas dua kali pilihan raya sebelum ini (PRU14 dan PRU15).
“Maka, PAS perlu diperkukuhkan melalui peranan dan fungsi Dewan Ulamak PAS yang berwajah baharu itu,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/10/2023




















