PTPTN: Taktik kerajaan tagih sokongan anak muda?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada 4 Oktober lalu mengenai pemansuhan diskaun pembayaran Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dilihat sangat tidak wajar, tetapi dalam masa yang sama dikhuatiri  ia adalah taktik dalam meraih sokongan orang muda terhadap kerajaan.

Ahli Parlimen Temerloh dari PERIKATAN NASIONAL (PN), Salamiah Mohd Nor berkata isu pemansuhan diskaun PTPTN itu secara langsung akan menambahkan beban terhadap graduan-graduan selepas menamatkan pengajian di Institusi Pengajian Awam atau Institusi Pengajian Swasta (IPTA/IPTS).

- Advertisement -

Beliau berkata, dalam pembentangan Belanjawan 2023, pada Feb lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan Malaysia telah mengumumkan pelaksanaan diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN sehingga 20 peratus berkuat kuasa mulai 1 Mac hingga 31 Mei lepas.

“Insentif diskaun ini meliputi empat kategori seperti diskaun 20 peratus atas baki hutang untuk penyelesaian penuh pinjaman; diskaun 15 peratus untuk penyelesaian sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keseluruhan baki hutang; diskaun 15 peratus untuk bayaran balik melalui potongan gaji atau Debit Terus (Direct Debit) mengikut jadual bayaran balik; dan diskaun lima peratus untuk bayaran balik melalui aplikasi myPTPTN,” jelas Salamiah kepada HarakahDaily.

Namun begitu, katanya lagi, perkara ini telah bercanggah dengan menifesto Pakatan Harapan (PH) sebelum ini yang menjanjikan penghapusan hutang PTPTN. 

Salamiah Mohd Nor

“Ada dalam kalangan pejuang yang membela mahasiswa suatu masa dahulu untuk menghapuskan PTPTN, kini telah menjadi Timbalan Menteri. 

“Mengapakah mereka tidak bersuara sekarang? Usahkan nak menghapuskan PTPTN,  malah diskaun pun sudah tidak diberikan lagi,” soal beliau.

Justeru, ujar Salamiah, orang muda perlu bijak dan berhati-hati menilai setiap agenda yang ditawarkan oleh parti politik.

“Suatu masa dahulu, kerajaan di bawah pimpinan Anwar pernah mengeluarkan kenyataan bahawa hutang FELDA  tidak akan dilupuskan, tiba-tiba di masa yang lain, berlagak hero kononnya merekalah yang sebenarnya menghapuskan hutang peneroka dan bukannya Kerajaan PN di bawah kepimpinan Tan Sri Muhyuddin Yassin,” terang beliau.

Menurutnya, maka tidak mustahil dalam pembentangan bajet 2024 bermula 9 Okt ini, pelbagai pengisytiharan baharu bakal dibuat berkaitan bayaran balik PTPTN, bagi menagih sokongan golongan muda kononnya Kerajaan Pakatan Harapan & Barisan Nasional (PHBN) membela mereka.

Mohd Zai Mustafa

Sementara, Pengerusi UMMAH, Mohd Zai Mustafa turut berpandangan bahawa tindakan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk tidak meneruskan pemberian diskaun bagi pembayaran balik PTPTN kepada peminjam adalah satu tindakan ke belakang dan sangat membebankan para peminjam.

Katanya, tindakan itu juga menunjukkan kerajaan Madani pada masa ini tidak serius dalam melaksanakan janji manifesto mereka.

“Dimanakah kesungguhan Perdana Menteri yang selama ini pernah melaungkan slogan membantu anak muda yang baru tamat belajar ditambah pula dengan peluang pekerjaan yang semakin berkurangan?” soalnya.

Mohd Zai berkata, pemberian diskaun pembayaran PTPTN banyak membantu golongan muda yang tamat belajar dengan upah gaji yang rendah pada permulaan pekerjaan.

“Jika dilihat, situasi ekonomi dan harga barangan keperluan yang sentiasa naik di pasaran, sepatutnya kerajaan Madani pada masa kini meneruskan pemberian diskaun dan menambahkan lagi pemberian diskaun yang tinggi kepada pelajar cemerlang mengikut gred sebagai satu insentif pengalak.

“Namun begitu, keputusan ini sangat mendukacitakan malah merupakan keputusan yang malang kepada semua anak muda yang menjadi peminjam kepada PTPTN bagi membiayai pendidikan tinggi mereka,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/10/2023

- Advertisement -