‘SELCAT perlu siasat isu program INSAN’

Ahmad Yunus
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Isu program Skim Insurans Hayat Selangor (INSAN) yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri itu pada tahun lalu perlu disiasat oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (SELCAT).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sijangkang, Dato’ Dr. Ahmad Yunus Hairi, berkata demikian dalam ulasan terbaharu beliau mengenai isu INSAN yang hangat diperkatakan pada Ogos tahun ini, tetapi kini seakan berada di awan-awangan. 

- Advertisement -

INSAN yang diperkenalkan kerajaan Selangor pada tahun lalu itu mencetuskan kontroversi  pada ketika itu apabila beberapa individu mendakwa nama merela telah didaftarkan di luar pengetahuan masing-masing.

“Perkara ini tidak seharusnya berlaku. Tindakan pendaftaran nama tanpa kebenaran itu merupakan satu kesalahan dan menyalahi undang-undang di negara ini.

“Oleh itu, tindakan perlu diambil sekiranya mempunyai bukti kukuh,” katanya kepada HarakahDaily.

Menurut beliau, INSAN adalah program yang baik untuk rakyat yang tinggal di negeri Selangor; dan ia  telah pun dibincangkan terlebih dahulu ketika parti PAS bersama-sama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP mentadbir kerajaan Selangor.

Namun begitu, Dr Ahmad Yunus berkata sehingga kini timbul pula beberapa persoalan yang menjadi pertanyaan dalam kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan rakyat yang begitu cakna dengan pertubuhan skim insurans tersebut.

Isu insurans secara konvensional dan tidak patuh syariah menjadi pertanyaan di dalam sidang dewan walaupun akhirnya hampir kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dewan negeri.

Isu ini mula hangat diperkatakan apabila dikesan wujudnya pendaftaran kepada mereka yang belum mendaftar, ada ahli keluarga yang sudah meninggal dunia didaftarkan dan yang tidak selayaknya telah mendaftar sebagai penerima skim berkenaan . 

Namun begitu, Dr Ahmad Yunus berkata walaupun dinafikan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dengan memberikan pelbagai alasan yang mengatakan ia merupakan ‘pra pendaftaran’ tetapi pada hakikatnya polisi insurans itu telahpun didaftarkan dan dikeluarkan dengan bernombor polisi.

Katanya lagi, rakyat semakin sangsi bagaimana data dan maklumat-maklumat peribadi mereka seolah-olah boleh disalahgunakan walaupun dikatakan menggunakan data maklumat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). 

“Adakah pihak SPR membenarkan maklumat data peribadi boleh digunakan untuk tujuan selain pilihanraya?

“Apatah lagi kalau yang menggunakan data itu bukan agensi kerajaan negeri tetapi sebuah syarikat yang bukan bertapak di Selangor.

“Ini yang rakyat negeri Selangor perlukan penjelasan,” soal beliau.

Ahmad Yunus menegaskan, pertanyaan soalan bertulis ketika sidang terakhir penggal yang lalu kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari telah memberikan jawapan bahawa sudah enam juta rakyat telah berdaftar di bawah program INSAN.

“Banyak kepincangan yang berlaku dan ianya sangat mendukacitakan. Tindakan yang dilakukan oleh kerajaan Selangor sangat tidak bermoral kerana penggunaan data tanpa kebenaran dan dana wang awam negeri selangor. 

“Perkara ini tidak seharusnya berlaku. Sudah tentu sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, pihak Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (SELCAT) harus membuat siasatan,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/10/2023 

- Advertisement -