
BAGHDAD: Lebih 110 orang terbunuh dan lebih 150 yang lain cedera apabila kebakaran berlaku dalam sebuah dewan perkahwinan di daerah Hamdaniya, di wilayah Nineveh, Iraq.
Jurucakap Kementerian Kesihatan, Saif al Badr memberitahu agensi berita Iraq, INA, yang merujuk kepada kenyataan Timbalan Gabenor Nineveh, Hasan al Allaq sebagai berkata 113 orang telah disahkan meninggal dunia; sementara pegawai kesihatan mengesahkan bahawa 100 kematian dan lebih 150 cedera telah direkodkan sebagai angka awal akibat insiden kebakaran di dewan perkahwinan di Al Hamdaniya.
“Semua usaha sedang dilakukan untuk memberikan bantuan kepada mereka yang terjejas oleh tragedi malang itu,” kata al Badr.
Sementara, gabenor wilayah Nineveh, Najim al Jubouri berkata, beberapa mangsa yang cedera telah dipindahkan ke hospital berdekatan.
Beliau mengeluarkan amaran masih belum ada angka korban yang belum diumumkan angkara kebakaran itu, yang menunjukkan angka kematian masih mungkin meningkat.
Saksi mata di lokasi kejadian berkata bangunan yang menempatkan dewan perkahwinan itu terbakar pada kira-kira jam 10.45 malam Rabu (25 Sept), waktu tempatan, (1945 GMT) ketika ratusan tetamu hadir di situ.

Rakaman televisyen menunjukkan serpihan hangus di dalam dewan perkahwinan ketika seorang lelaki menjerit meminta tolong kepada anggota bomba.
“Kami melihat api mula marak menyala, lalu cuba keluar dari dewan. Mereka yang berjaya keluar dan mereka yang tidak berjaya pula, tersepit,” kata Imad Yohana, 34, yang sempat melarikan diri.
Mangsa-mangsa yang terselamat tiba di hospital tempatan, menerima bantuan pernafasan oksigen, ketika ahli keluarga mereka berpusu-pusu melalui lorong dan luar hospital ketika pekerja mengatur lebih banyak silinder oksigen.

Dalam satu kenyataan ringkas, Perdana Menteri Iraq, Mohamed Shia al-Sudani menyeru menteri kesihatan dan dalam negeri untuk ‘menggerakkan semua usaha menyelamat’ bagi membantu mangsa-mangsa kebakaran.
Dalam satu kenyataan, pihak berkuasa pertahanan awam melaporkan kehadiran panel pasang siap yang ‘sangat mudah terbakar dan melanggar piawaian keselamatan’ di dalam dewan tempat kebakaran berlaku.
“Kebakaran itu menyebabkan beberapa bahagian siling runtuh akibat penggunaan bahan binaan yang sangat mudah terbakar dan kos rendah.
“Maklumat awal menunjukkan bahawa bunga api digunakan semasa majlis perkahwinan, yang mencetuskan kebakaran di dalam dewan berkenaan,” kata kenyataan itu. – HARAKAHDAILY 27/9/2023




















