Isu bekalan beras tempatan makin parah?

Rakyat mengeluh bukan sahaja akibat kenaikan harga beras di pasaran tetapi juga disebakan bekalannya yang tidak mencukupi. (FOTO HIASAN)
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kenaikan harga beras import menyebabkan orang ramai lebih memilih membeli beras tempatan sebagai alternatif mendapatkan bijiran tersebut pada harga murah. Berikutan hal tersebut, bekalan untuk beras tempatan semakin kurang dengan drastik di pasaran.

Tinjauan HarakahDaily di sebuah pasar raya di Sentul, di sini, baru-baru ini, mendapati pelanggan dan pekedai restoran berdepan kesukaran mendapatkan stok beras tempatan yang sudah terjual dan cepat habis sejak pengumuman kenaikan beras import oleh kerajaan.

- Advertisement -

Seorang pengurus pasar raya yang hanya ingin dikenali sebagai Rubi, 28, berkata, bahawa beras tempatan yang sampai ke cawangan pasar raya itu lebih sedikit daripada kebiasaan.

Rubi

“Biasanya mereka hantar beras tempatan 10-20 paket (10kg), tetapi yang mereka hantar (ke cawangan ini) hanya lima sahaja minggu ini.”

Seorang peniaga restoran, Fatimah Sidek, 56,  meluahkan rasa dukacita atas kenaikan harga beras import yang mendadak.

“Harga beras sekarang memang naik mendadak. Dulu RM20 lebih, sekarang RM30 lebih (untuk 10kg). Memang terasa lah tempias dia harga beras naik mendadak ini.”

“Sebelum ini gula. Nak dapat pun susah, stok pun tak ada. Sekarang ini beras pula (yang berlaku begitu).”

Fatimah Sidek

Juruteknik, Khir Amin, 46, dalam pada itu memberitahu bahawa bekalan beras jenama tempatan terutamanya jenama Faiza, Jasmine dan Jati tidak cukup di pasaran, dan perkara ini perlu diselesaikan segera oleh kerajaan.

“Isunya adalah beras tempatan tidak cukup. Memang ketara masalah itu, lagi-lagi (apabila) anak ramai. Makna kata (kerajaan) nak turun, nak bantu rakyat. Lagi merosakkan lagi adalah,” luahnya dalam nada geram. 

“Isu harga barang naik ini daripada dulu lagi. Macam contoh minyak, (sehingga) ada sampai kena catu. 

“Harapan yang nak diperkatakan adalah, (kepada kerajaan) yang nak bantu rakyat tu mana? Kalau cakap tapi tak buat, tak boleh juga,” tambahnya.

Khir Amin

Terdahulu, Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) melaporkan harga beras putih import meningkat 36 peratus iaitu daripada RM2,350 kepada RM3,200 satu tan metrik berkuat kuasa pada 1 September lalu.

Menurut kenyataan BERNAS, pelarasan itu adalah selari dengan harga global semasa bagi ruji makanan. – HARAKAHDAILY 12/9/2023

- Advertisement -