Skim al Itaam terkesan harga beras naik

ADUN Chempaka, Nik Bahrum Nik Abdullah menyampaikan bantuan beras kepada seorang penduduk.
- Advertisement -

KOTA BHARU: Program bantuan beras percuma setiap bulan di bawah Skim al Itaam buat rakyat miskin di Kelantan juga terkesan, susulan peningkatan harga beras di pasaran sekarang.

Bermula Isnin lepas harga beras di pasaran tempatan meningkat ada antaranya sebanyak RM8.50 bagi 10 kilogram.

Sebagai contohnya, beras super lima peratus cap anggur biru bagi 10kg sebelum ini dijual pada harga RM27.50, namun sekarang meningkat kepada RM36.

Begitu juga beras super TWR 5 peratus cap roda bagi 10kg sebelum ini dijual harga RM27, namun sekarang meningkat kepada RM35.50.

- Advertisement -

Pengurus Besar Kumpulan Pertanian Kelantan Berhad (KPKB), Mohd Mukhlis Mukhtar berkata, kenaikan harga beras yang diumumkan Padiberas Nasional Berhad (Bernas) Jumaat (1 Sept)  lalu itu turut menjejaskan program al Itaam.

Menurutnya, biarpun berlaku kenaikan harga beras di pasaran, namun program Skim al Itaam dilaksana bagi meringankan beban rakyat miskin dan asnaf yang memerlukan.

“Program itu diteruskan sehingga sekarang bagi memastikan agenda Kelantan sebagai negeri berkebajikan dapat diteruskan,” katanya di sini. 

Skim beras al Itaam diperkenalkan kerajaan Kelantan di bawah pimpinan Tuan Guru Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat sejak tahun 2011.

Oleh itu kata beliau, KPKB menyediakan kertas kerja untuk diserahkan kepada kerajaan negeri bagi memastikan pelaksanaan agihan beras 10.8kgkepada rakyat miskin dapat diteruskan.

Mohd Mukhlis menegaskan program Skim al Itaam terjejas susulan kenaikan harga beras yang diumumkan Bernas pada Jumaat , 1 Sept 2023.

“Selain bantuan beras golongan terbabit turut menerima satu kilogram minyak masak dan gula setiap bulan,” ujarnya.

Mohd Mukhlis juga berkata, kerajaan wajar mewujudkan stok penimbal beras di peringkat negeri yang menjadi pengeluar beras bagi mengurangkan kebergantungan bekalan import pada masa akan datang.

“Dengan cara ini, hasil beras tempatan di pasaran boleh diseragamkan aspek harga dan kualiti. Sekali gus, kebergantungan beras import dapat dikurangkan sedikit demi sedikit pada masa depan selepas stok penimbal beras setiap negeri diwujudkan.

“Kerajaan perlu melihat proses penghasilan beras bermula penanaman padi sehingga peringkat akhir di kilang,” katanya.  – HARAKAHDAILY  6/9/2023

- Advertisement -