
KOTA BHARU: Menteri Besar (MB) Kelantan sudah memaklumkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mengadakan pertemuan dengannya tidak lama lagi.
Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata, perkara itu dimaklumkan ketika berjumpa dengan Perdana Menteri sempena mesyuarat Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam (MKI) Malaysia yang ke-70 baru-baru ini.
Menurut beliau, mesyuarat terbabit dipengerusikan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
“Pertemuan itu dirancang akan diadakan selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (Dun) Simpang Jeram di Johor,” katanya, di sini, semalam.
Tambah Mohd Nassuruddin, ketika menyampaikan hasrat itu Perdana Menteri menyatakan bersedia untuk menerima kunjungan hormat tersebut.
“Tunggu tarikh yang sesuai kerana sekarang mungkin Perdana Menteri sibuk dengan pilihan raya dan pelagai program lain. Kemungkinan boleh jumpa selepas pilihan PRK. Insya-Allah,” katanya.
Pada mesyuarat pertama Exco bagi penggal ke-15 dua minggu lepas Mohd Nassuruddin Daud menyatakan akan mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri bagi merapatkan hubungan negeri dan kerajaan Persekutuan. – HARAKAHDAILY 6/9/2023




















