MB kelantan saman ADUN Galas, Kota Lama

Dato' Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud
- Advertisement -

KOTA BHARU: Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud telah memfailkan saman terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim dan ADUN Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim berhubung isu memfitnah beliau membawa fitrah takfiri.

Turut disaman oleh beliau berhubung isu yang sama ialah Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

- Advertisement -

“Surat saman telah dihantar kepada peguam Mohd Syahbuddin Hashim semalam. Selepas ini giliran Adun Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim dan Pengerusi Umno Kelantan pula (Ahmad Jazlan Yaakub),” katanya selepas Majlis Mengangkat Sumpah Adun Kelantan di Kota Darul Naim, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Mohd Nassuruddin diminta membuat permohonan maaf secara terbuka kepada wakil rakyat DUN Galas, Kota Lama serta pengundi Barisan Nasonal (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dalam tempoh tujuh hari.

Permohonan maaf itu susulan beliau didakwa mengatakan bahawa kedua-dua wakil rakyat terbabit melawan perjuangan Islam semasa menyampaikan kuliah di Medan Ilmu.

Mohd Nassuruddin bagaimanapun mempertahankan kenyataannya sebelum ini, yang beliau tidak menuduh kedua-dua ADUN berkenaan menentang Islam.

“Dalam kuliah saya di Medan Ilmu, semua orang boleh dengar, saya sebut  perjuangan Islam kita ini dapat sokongan bukan hanya golongan tua, tetapi golongan muda turut menyokong sehingga kita menang 43 daripada 45 kerusi yang dipertandingkan di Kelantan,” jelasnya.

Beliau menegaskn bahawa  tindakan tersebut diambil kerana beliau tidak menyebut perkataan yang dimaksudkan oleh ketiga-tiga pemimpin tersebut.

Tambahnya, sejak berusia 21 tahun hingga sekarang 58 tahun mengajar agama di masjid dan pondok, tidak pernah sekali pun beliau pernah mengkafirkan sesiapa.

“Ini kerana saya tahu akibat mengkafirkan orang, kalau orang itu tidak kafir, kafir itu kembali kepada orang yang menuduh.

“Jadi, bila mereka menyebut saya membawa fitrah takfiri ertinya mereka telah menuduh saya mengkafirkan orang.. jadi wajar saya saman mereka,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/9/2023

- Advertisement -