Kerajaan Anwar dinasihat hormati mandat rakyat Kedah

- Advertisement -

KUALA KEDAH: Kerajaan Persekutuan diketuai Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dinasihatkan supaya menghormati kehendak rakyat Kedah yang telah memberi mandat kepada PERIKATAN NASIONAL (PN) menerajui negeri ini.

Pengerusi PN Negeri Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor turut memberi peringatan sama kepada Menteri Dalam Negeri, Senator Dato’ Seri Saifuddin Nasution dan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

“Jangan buat-buat tak faham dengan mandat yang telah diberikan oleh rakyat Kedah kepada PN. Jangan cuba nafikan, jangan cuba ketepikan, jangan cuba paksa. Jangan cuba hukum atau denda rakyat negeri Kedah kerana menolak kamu. 

“Kerana kita terlibat dalam politik negara ini, kita telah sama-sama menerima, inilah sistem demokrasi. Bila rakyat pilih satu parti, satu pihak kita kena akur dan berlapang dada. Jangan kamu cuba sempitkan dada kamu.

“Untuk agensi jabatan negeri dan persekutuan, kamu telah lihat apa yang telah rakyat lakukan di negeri ini. Apa yang rakyat mahu, siapa yang rakyat percaya? Perjuangan siapa yang rakyat terima. 

“Kamu telah lihat sendiri jangan cuba membutakan mata dengan menurut membuta tuli arahan daripada mereka. Kamu agensi penguat kuasa atau agensi meluluskan apa-apa, sila pandang suara rakyat Kedah ini dalam konteks demokrasi.

“Inilah kehendak, inilah aspirasi rakyat Kedah yang diterjemahkan dalam peti undi, sila beri penghormatan kamu,” ujarnya pada Himpunan Mandat Rakyat di Kompleks PAS Kedah, di sini malam tadi.

Diminta menyentuh mengenai lawan politik yang telah tewas dalam PRN kelmarin, beliau mengimbau pesanan nasihat oleh bekas Pesuruhjaya PAS Kedah, Almarhum Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak.

“Tak boleh (menyakiti perasaan mereka), Ustaz Azizan pesan kat saya. Orang-orang yang telah tewas dalam pilihan raya, mereka telah rebah, janganlah kamu pijak kepala sehingga misai mereka kena tanah. Tak boleh. 

“Jadi kita tak usah kata apa kat depa, kita ucap selamat berehat. Sebahagian daripada mereka itu patut pencen dah. Cuba (bertanding) dalam kerusi Parlimen gagal, cuba dalam kerusi DUN pun gagal.

“Sebenarnya bukanlah kegagalan diri kamu, tapi kegagalan perjuangan yang kamu cuba paksakan yang tidak boleh diterima oleh orang Kedah. Selamat beristirahat,” ucapnya. – HARAKAHDAILY 14/8/2023

- Advertisement -
- Advertisement -