Siti Ashah gagahi tinjau 21 pusat undi

Siti Ashah ditemani suami beliau membuang undi di SK Bukit Selarong, Padang Serai, Kedah pada hari ini, 12 Ogos 2023.
- Advertisement -

PADANG SERAI: Sehingga jam 12 tengah hari, Dato’ Ustazah Siti Ashah Ghazali telah mengunjungi sembilan daripada 21 pusat pengundian seluruh Dewan Undangan Negeri (DUN) Merbau Pulas.

Beliau yang dicalonkan sekali lagi mewakili PERIKATAN NASIONAL (PN) di DUN berkenaan, sebelum ini telah berjaya mengunggulinya tiga penggal berturut-turut.

- Advertisement -

 

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini beliau sekali lagi berentap dalam pertandingan dua penjuru mempertahankan DUN Merbau Pulas berdepan dengan Dato’ Asmadi Abu Talib (PH-BN).

Siti Ashah yang sememangnya dikenali sebahagian besar pengundi DUN berkenaan, mendapat sokongan dari pelbagai lapisan masyarakat termasuk anak-anak muda. 

“Alhamdulillah, sokongan rakyat terutama anak-anak muda kepada PN amat memberangsangkan,” katanya kepada HarakahDaily. 

Terdahulu beliau membuang undi di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Selarong, kira-kira jam 9.30 pagi tadi. 

Beliau juga merupakan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah pada penggal lalu berkata, beliau komited untuk memastikan anak-anak tempatan khususnya di DUN Merbau turut mendapat tempias pembangunan projek berimpak tinggi khususnya di Kulim Hi-Tech, sekiranya sekali lagi diberi mandat rakyat. – HARAKAHDAILY 12/8/2023

- Advertisement -