
TUMPAT: Menteri Besar (MB) Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berharap pengundi yang belum menunaikan tanggungjawab mereka perlu keluar mengundi dalam tempoh masa berbaki sekarang.
Beliau berkata, dalam keadaan cuaca yang tidak menentu pada sebelah petang sewajarnya pengundi terutama anak-anak muda keluar menunaikan tanggungjawab mereka.
Tambahnya, mengundi adalah tanggungjawab yang begitu penting bagi setiap rakyat dan ia perlu diutamakan.
“Cuma yang merisaukan kita saluran lima dan enam pada sebelah pagi agak rendah. Mungkin mereka keluar mengundi lewat sedikit.
“Mungkin sebab malam tadi ramai yang keluar berarak di jalan raya dan sebagainya, ambo rasa sekitar jam 3 petang insyaAllah lebih ramai lagi akan keluar mengundi,” katanya ketika ditemui semasa meninjau tempat pengundian di Sekolah Menengah Kebangsaan Kampung Laut hari ini.
Difahamkan sehingga jam 1 tengah hari sebanyak 40 peratus pengundi di Kelantan dilapor keluar membuang undi.
Menteri Besar juga berkata, semua pemilih di Kelantan perlu mengambil tanggungjawab tersebut keluar mengundi bagi menyempurnakan hak sebagai rakyat Malaysia.
“Namun, saya yakin kerajaan Kelantan mampu dipertahankan dengan mengambil kira gelombang kesedaran rakyat masih tinggi,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/8/2023




















