PAS tidak pernah ketandusan doktor perubatan – Dr Din

ZIARAH...Dr Din memeriksa tekanan darah seorang penduduk Dun Sura.
- Advertisement -

DUNGUN: Dr Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Md Fauzi berkata, PAS Terengganu tidak pernah ketandusan pelapis termasuk dalam kalangan doktor perubatan.

- Advertisement -

Begitu juga, ujarnya PAS negeri sentiasa ada daripada kalangan doktor untuk ditampilkan sebagai calon dalam pilihan raya.

“Saya melihat bahawa PAS Terengganu tidak pernah ketandusan pelapis hatta kalau kita melihat sebelum ini antara doktor yang bertanding ialah Dr Alias Razak, yang dicalonkan di (parlimen) Kuala Nerus, memang pimpinan melihat bahawa pos itu perlu ada pengganti.

“Dr Mamad masih lagi kekal, maknanya kita tidak pernah ketandusan doktor perubatan termasuklah saya untuk menjadi pelapis dan meneruskan misi dan visi yang diteruskan oleh orang terdahulu,” ujarnya yang bertanding di Dun Sura pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Anak jati Dun Sura menambah, antara kekuatan sebagai doktor perubatan adalah dari sudut hubungan personal dengan masyarakat setempat.

“Yang kedua, saya juga dari kelulusan kesihatan awam. Sebagai kesihatan awam, memang saya belajar dan terlibat secara tidak langsung dalam beberapa polisi berkaitan dengan kesihatan awam untuk rakyat di negeri Terengganu,” ujarnya.

Menurutnya, dengan pengalaman yang ada itu membolehkan beliau untuk meneruskan usaha kerajaan negeri bagi membentuk sebuah negeri yang bukan sahaja maju dan berkat.

“Ada satu lagi point, sejahtera, maknanya kalau rakyat sihat maknanya ia akan sejahteralah, insya-Allah,” katanya yang mesra dengan panggilan Dr Din.

Mengenai peranan di Dun Sura jika mendapat mandat daripada pengundi, beliau akan meneruskan legasi yang telah dilaksanakan oleh Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli yang menjadi wakil rakyat selama dua penggal bermula 1999 dan Wan Hapandi Wan Nik selepas itu.

Katanya, Wan Hassan telah meletakkan batu asas yang cukup baik di Dun Sura yang diteruskan pula oleh Wan Hapandi selama dua penggal bermula PRU13.

Begitupun, sebagai calon muda dan profesional, beliau juga mempunyai visi dan misi berkaitan sukan dan pendidikan.

“Saya melihat prospek Dun Sura ini prospek yang cukup baiklah untuk pembangunan pelapis atlet, anak muda dari sudut itu,” katanya.

Antara ahli sukan negara dari Dun Sura ialah jaguh berbasikal trek, Datuk Mohd Azizulhasni Awang dan pemain bola sepak, Safawi Rasid.

“Yang kedua dari sudut pendidikan, sebab saya melihat tanpa pendidikan ini kita tak boleh mengubah nasib sesebuah bangsa,” ujarnya.

Bekas Pegawai Perubatan Hospital Kemaman itu berdepan dengan calon PH, Othman Omar pada PRN kali ini.

Pada PRU14 lalu, Wan Hapandi memenangi kerusi Dun Sura pada PRU14 dengan majoriti 7,162 undi menewaskan calon BN, Zainun Abu Bakar yang mendapat 5,338 undi dan calon PKR, Zulkifli Ali yang memungut 2,386 undi. – HARAKAHDAILY 3/8/2023

- Advertisement -