
ANTARA agenda reformasi yang selama ini diperjuangkan oleh PH, PKR dan Dato’ Seri Anwar Ibrahim adalah agenda menolak budaya politik wang yang selama ini cuba disuburkan dalam pencak politik negara Malaysia.
Siri-siri kenyataan oleh Anwar Ibrahim dan rakan-rakan komponen PH berkenaan agenda ini sudah tidak terkira banyaknya. Hal ini termasuklah ucapan beliau yang tular semula yang berbunyi:
“Dedak dan habuan hanya diedar menjelang PRU untuk mengekalkan kuasa,”
Sayang sekali, negara digemparkan pula dengan usaha Perdana Menteri ke-10 (PMX) mengumumkan insentif bantuan tunai sebanyak RM100 kepada 10 juta rakyat Malaysia yang turut merangkumi kumpulan M40 dan B40.
Tanpa menafikan keperluan bantuan tunai sebegini disuntik dalam pasaran bagi merangsang aliran kitaran wang dalam pasaran domestik, pengumuman bantuan tunai oleh PMX telah menimbulkan persoalan akan niat sebenar pengumuman bantuan tunai ini serta konsistensi nilai yang diperjuangkan PH dan Anwar selama ini.
Tidak boleh dinafikan, pemberian tunai yang mampu melegakan poket rakyat untuk berbelanja akan memberikan kesan positif kepada ‘mood’ rakyat.
Namun begitu realiti kajian menunjukkan sebaliknya apabila pemberian tunai sewaktu musim pilihan raya sebenarnya tidak begitu berkesan mempengaruhi undi rakyat dalam keadaan banyak parti politik membuat inisiatif lebih kurang sama. Dapatan ini adalah sebagaimana kajian oleh Princeton University yang dihasilkan oleh Leonard Wantchekon dan Jenny Guardado.
Bahkan langkah PMX juga turut dikritik ahli ekonomi Prof Geoffrey Williams yang menyatakan insentif ini tidak berkesan baik buat ekonomi mahupun politik. Bahkan beliau turut menyatakan waktu pemberian ini juga boleh ditafsirkan insentif sempena pilihan raya.
Apa yang dipersoalkan adalah konsistensi dan rasa malu PMX dan Pakatan Harapan. Selama ini mereka menjadi juara menolak budaya pemberian bantuan tunai untuk raih undi. Kini merekalah juara pemberi bantuan. tunai.
PROFESIONAL ISTIQAMAH – HARAKAHDAILY 3/8/2023
Sumber Asal: https://www.facebook.com/100064587886409/posts/pfbid0peDEMUzaeDZ3wGsey4g5MQR67JLB2rvpwPngfYeCacK2h3vr6inCCPrUgRdvn2rxl/
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.




















