
SEMASA Tan Sri Khalid Ibrahim jadi Menteri Besar Selangor, beliau telah memperkenalkan dasar yang sangat membantu rakyat iaitu dasar pemberian 20 meter padu air percuma kepada pengguna domestik dengan meter individu.
Dasar ini dikuatkuasa mulai 1 Jun 2008 iaitu tiga bulan setelah Tan Sri Khalid mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor. Waktu itu tiga Adun PAS dilantik menjadi Exco untuk membantu Tan Sri menguruskan Selangor.
Kapasiti 20 meter padu air ini bersamaan 20,000 liter air. Sebenarnya ia mencukupi untuk kegunaan sebuah keluarga dengan tiga orang ahli keluarga.
Purata penggunaan air oleh setiap individu di Selangor ialah 222 liter sehari, maka 222 liter x 3 orang = 666 liter sehari. Jika sebulan maka 666 liter x 30 hari = lebih kurang 20,000 liter.
Jika masyarakat kita dapat menggunakan air seperti yang disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) iaitu 165 liter sehari setiap orang, maka pemberian air percuma ini mencukupi untuk sebuah keluarga dengan empat orang ahli keluarga.
Hampir 1.6 juta pemegang akaun menikmati Pemberian Air Percuma ini sepanjang kepimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim.
Setelah legasi Tan Sri berakhir pada 2014 akibat dikhianati parti sendiri iaitu PKR, agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) ini semakin malap.
Kepimpinan negeri setelah itu mula mempersoalkan pemberian air percuma ini agak membebankan kewangan negeri.
Mulai 1 Mac 2020, di bawah kepimpinan bakal mantan MB Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari, Pemberian Air Percuma ini dijenamakan semula kepada Skim Air Darul Ehsan (SADE) untuk akaun meter air persendirian dan Skim Selangor Free Water Apartment (SAFWA) untuk meter air pukal.
Skim air baharu ini hanya memberi tumpuan kepada golongan isi rumah dengan pendapatan kurang daripada RM5,000 dan skim ini bukanlah automatik untuk golongan ini kerana golongan yang layak ini mesti membuat permohonan terlebih dahulu.
Kalau ikutkan jumlah yang layak memohon berjumlah 650,000 akaun namun setakat yang diketahui, sekitar 301,453 akaun sahaja yang sudah memohon dan berdaftar.
Pelik, hanya 46.4 peratus sahaja yang berdaftar, macam kurang sambutan daripada rakyat.
Benarkah rakyat tak terliur dengan air percuma ini atau kerajaan Pakatan Harapan (PH) Selangor yang tidak ambil berat dengan keperluan asas rakyat?
Malah adakah kerajaan PH ini mahu mengurangkan peruntukan untuk keperluan rakyat ini dengan trik menyukarkan permohonan?
Sepatutnya jika kerajaan benar-benar ikhlas mahu bantu orang susah, tak perlu birokrasi sebegini, sudah ada data 650,000 pemegang akaun yang layak, beri sahajalah kerana itu golongan yang disasarkan.
Kos Pemberian Air Percuma ialah RM180 juta setahun, manakala Skim Air Darul Ehsan (SADE) ialah RM40 juta setahun.
Kerajaan Selangor beritahu penjimatan ini dilakukan untuk disalurkan kepada program kebajikan rakyat yang lain.
Rakyat sudah bosan dengan alasan sebegini kerana sedia maklum Selangor adalah sebuah negeri kaya, simpanan pun banyak tapi masih mahu usik kebajikan rakyat.
Melihat kepada kelemahan kerajaan Pakatan Harapan menguruskan Selangor ini, ayuh bersama-sama PERIKATAN NASIONAL membawa aspirasi rakyat dengan memastikan kebajikan rakyat tidak diabaikan agar Selangor menjadi sebuah negeri yang lebih maju dan lestari.
DATO’ DR. AHMAD YUNUS HAIRI
Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor – HARAKAHDAILY 23/6/2023




















