
KUALA LUMPUR: Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang sebelum ini mengumumkan bersara daripada politik kini kembali semula ke arena itu selepas dilantik sebagai Yang Dipertua (YDP) Dewan Negara.
Beliau muncul menggantikan Tan Sri Dr Rais Yatim selepas tamat tempoh perkhidmatan. Begitu juga Timbalan Yang Dipertua Dato’ Sri Mohamad Ali Mohamad turut tamat tempoh perkhidmatan.
Ekoran kekosongan jawatan kedua-dua Setiausaha Dewan Negara, Muhd Sujairi Abdullah mencadangkan Senator Prof Dato’ Dr Awang Sariyan dilantik mempengerusikan sementara sidang berkenaan.
Sebelum itu Dr Wan Junaidi, bekas ahli parlimen Pulai, Dato’ Seri Nur Jazlan Mohamad dan Dato’ Dr Mujahid Yusof Rawa dilantik sebagai anggota Dewan Negara yang baharu.
Selepas pelantikan itu Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim mencadangkan Dr Wan Junaidi dilantik sebagai Yang Dipertua baharu.
Disebabkan hanya ada satu calon dicadangkan Setiausaha Dewan Negara mengumumkan Dr Wan Junaidi sebagai Yang Dipertua Dewan Negara selepas undi suara menyokong.
Bagaimanapun pelantikan Timbalan Yang Dipertua terdapat dua calon, di mana Perdana Menteri mengemukakan nama Nur Jazlan, manakala Senator Dato’ Dominic Lau Hoe Chai mencadangkan nama Dato’ Razali Idris.
Susulan daripada itu Yang Dipertua membuat undian secara atas kertas di mana setiap Senator perlu menulis nama seorang daripada dua calon terbabit.
Selepas pengundian dibuat Nur Jazlan mendapat 43 undi, manakala Razali pula disokong 11 Senator, lapan Senator tidak hadir. – HARAKAHDAILY 19/6/2023




















