Hampir 100 maut di dua negeri di India

Saudara-mara seorang pesakit yang dibawa ke hospital di Ballia, Uttar Pradesh pada Ahad, 18 Jun 2023. (FOTO: AP)
- Advertisement -

LUCKNOW, India: Sekurang-kurangnya 96 orang maut di dua negeri paling ramai penduduk di India sejak beberapa hari lalu, bukan disebabkan Taufan Biparjoy yang melanda dan membawa ribut hujan tetapi sebaliknya akibat gelombang panas terik yang melanda sebahagian besar negara itu.

- Advertisement -

Kematian berlaku di negeri utara Uttar Pradesh dan timur Bihar, yang menyaksikan  pihak berkuasa India pada Ahad (18 Jun) mengeluarkan amaran kepada penduduk berusia lebih 60 tahun dan yang lain yang mengalami pelbagai penyakit agar tinggal di dalam rumah pada waktu siang hari, lapor AP.

Jumlah kematian di Uttar Pradesh yang mencecah 54 dilaporkan di daerah Ballia, kira-kira 300 kilometer di tenggara Lucknow, ibu negerinya. 

Pihak berkuasa mendapati kebanyakan yang meninggal dunia berusia lebih 60 tahun dan mempunyai keadaan kesihatan meruncing sedia ada, yang mungkin diburukkan lagi dengan  gelombang cuaca panas.

Seorang pegawai perubatan di Ballia, S.K. Yadav berkata dalam tempoh tiga hari lalu, kira-kira 300 pesakit dimasukkan ke hospital daerah kerana pelbagai penyakit yang diburukkan lagi oleh  senario gelombang panas ekstrem itu.

“Disebabkan keadaan yang teruk, pihak berkuasa membatalkan permohonan cuti kakitangan perubatan di Ballia dan menyediakan katil hospital tambahan di wad kecemasan untuk menampung kemasukan pesakit.

“Kebanyakan pesakit yang diterima masuk berumur 60 tahun ke atas, menunjukkan simptom seperti demam panas, muntah, cirit-birit, kesukaran bernafas dan masalah berkaitan jantung,” katanya.

Peningkatan pesakit di ICU

Seorang penduduk Ballia yang kehilangan bapanya pada Sabtu (17 Jun), R.S. Pathak berkata bahawa dia menyaksikan peningkatan jumlah pesakit di wad kecemasan (ICU) hospital, semasa dia merawat bapanya.

“Ini tidak pernah berlaku di Ballia. Saya tidak pernah melihat orang mati kerana panas dalam jumlah yang begitu besar,” katanya. 

“Orang ramai kini takut untuk keluar. Jalan raya dan pasar sebahagian besarnya lengang,” kongsinya dalam nada sedih dan bimbang.

Ballia, bersama-sama dengan Uttar Pradesh tengah dan timur, kini sedang bergelut dengan  cuaca panas ektrem itu.

Pada Ahad (18 Jun), daerah itu mengalami suhu maksimum 43 darjah Celsius, melepasi julat normal sebanyak lima darjah. Kelembapan relatif direkodkan pada 25 peratus, meningkatkan kesan haba.

Saintis dari Jabatan Meteorologi India (IMD),  Atul Kumar Singh berkata,  suhu di seluruh negeri ketika ini berada di atas paras normal. 

“Tiada sesuatu yang mendatangkan keelegaan dijangka dalam tempoh 24 jam akan datang,” katanya yang menambah bahawa IMD telah mengeluarkan amaran mengatakan keadaan gelombang haba akan berlarutan sehingga hari ini, (19 Jun) di bahagian Uttar Pradesh.

Dalam pada itu, Menteri kesihatan negeri itu, Brijesh Pathak, berkata bahawa pihaknya telah membuka siasatan mengenai punca kematian ‘sangat ramai’ penduduk di Ballia.

Di timur Bihar, panas terik melanda sebahagian besar negeri, menyebabkan 42 kematian dalam tempoh dua hari lalu. 

200 pesakit, 35 maut

Sebanyak 35 daripada jumlah keseluruhan angka kematian itu berlaku di dua hospital di ibu negeri Patna, yang menyaksikan lebih 200 pesakit yang mengalami cirit-birit dan muntah sedang dirawat; yang mana Patna dilaporkan mencatatkan suhu maksimum 44.7 darjah Celsius pada Sabtu (17 Jun)  lalu.

Bulan-bulan musim panas utama iaitu April, Mei dan Jun biasanya paling panas di kebanyakan  negara di India, sebelum hujan monsun membawa suhu yang lebih sejuk.

Namun, suhu telah menjadi lebih panas dalam dekad yang lalu, ketika gelombang panas ekstrem melanda menyebabkan India biasanya mengalami kekurangan air yang teruk, dengan berpuluh juta daripada 1.4 bilion penduduknya kekurangan sumber  air mengalir.

Satu kajian oleh World Weather Attribution, kumpulan akademik yang mengkaji sumber haba melampau, mendapati bahawa gelombang haba yang ‘membakar penuh ekstrem’ bulan April  2023 yang melanda bahagian Asia Selatan dicetuskan sekurang-kurangnya 30 kali lebih berkemungkinan disebabkan oleh perubahan iklim.

Pada April itu, cuaca panas menyebabkan kematian 13 orang pada acara kerajaan di ibu kota kewangan India di Mumbai dan mendorong beberapa negeri menutup semua operasi sekolah selama seminggu.  – HARAKAHDAILY 19/6/2023

- Advertisement -