Isu bekalan air Kelantan: Siapakah puncanya?

- Advertisement -

DALAM siri 1: Apa sebenarnya isu bekalan air Kelantan? Saya ada menerangkan mengenai infrastruktur asas sistem bekalan air negeri. Tujuan saya tulis siri 1 adalah bertujuan memberi kefahaman jelas kepada para pembaca dan rakyat Negeri Kelantan terutamanya. Baca siri 1: https://harakahdaily.net/index.php/2023/06/05/apa-sebenarnya-isu-bekalan-air-kelantan/

Jadi dalam siri 2 ini, saya ingin menjelaskan punca berlaku segala permasalahan pengurusan air Negeri Kelantan. Sebelum para pembaca bertanya ingin saya nyatakan disini awal-awal, setiap negeri memerlukan bantuan peruntukan kewangan daripada Kerajaan Pusat sama ada bagi meningkatkan kapasiti loji rawatan air, memperbaiki paip utama dan memperbaiki paip agihan bagi mengurangkan kadar Non-Revenue Water (NRW) serta mana-mana infrastruktur sokongan yang diperlukan.

Melaka sebagai contoh menerima peruntukan RM420 juta pada tahun 2022 bagi menaik taraf loji rawatan air di negeri itu. Pahang juga menerima RM920 juta bagi tujuan yang sama. Pulau Pinang juga menerima RM2 bilion bagi pembinaan Empangan Mengkuang di samping peruntukan membaik pulih empangan ini pada 2018. Negeri Johor juga menerima hampir RM2 bilion dari Kerajaan Pusat. Jadi Kelantan juga tidak terlepas dari keperluan bantuan kewangan seperti ini.

Pada tahun 1990 Kelantan sudah dalam jadual menerima peruntukan sebanyak RM60 juta bagi projek Bekalan Air Kelantan Utara (BAKU). Projek ini adalah bagi meningkatkan bekalan air mengikut keperluan semasa rakyat Negeri Kelantan. Namun apabila PAS berjaya menawan Negeri Kelantan pada tahun 1990 projek ini ditarik balik serta merta. Siapakah Menteri Kewangan bertanggungjawab terhadap tindakan ini? Dialah Anwar Ibrahim dan inilah dosa pertama Anwar Ibrahim kepada rakyat Kelantan.

Kesan dari pembatalan projek air ini, sistem bekalan air Negeri Kelantan jauh terkebelakang dari negeri-negeri lain. Keperluan air Negeri Kelantan sudah melebihi kapasiti yang mampu diproses oleh loji rawatan air yang sedia ada. Di samping itu pembatalan itu juga menyebabkan paip-paip agihan yang usang tidak dapat ditukar dan kadar NRW yang tinggi menyebabkan gangguan kepada sistem bekalan air. 

Terdesak dengan keperluan air rakyat, Kerajaan Negeri Kelantan sekali lagi dalam RMK8 telah memohon mendapatkan dana RM600 juta. Hanya RM291 juta sahaja diluluskan, itupun dalam bentuk pinjaman sedangkan negeri lain menerima berbilion-bilion dalam bentuk geran. 

Pinjaman yang diterima ini digunakan sebaik mungkin membina 3 buah loji baru (RM146 juta), baik pulih loji sedia ada (RM125.3 juta) dan kos penukaran paip RM20 juta. Kerajaan negeri juga terpaksa terus meminjam dari Kerajaan Pusat pada RMK8 sebanyak RM88.5 juta bagi membina 4 loji baru dan menukar paip utama. Pinjaman terpaksa diteruskan pada RMK9 RM160 juta dan RMK10 RM96.8 juta bagi pembinaan loji baru, naik taraf loji sedia ada, penukaran paip utama, projek pengurangan NRW dan sebagainya.

Kerajaan negeri juga memperuntukkan RM49 juta untuk 6 projek pembinaan loji rawatan air mini dan 2 projek naik taraf loji sedia ada. Namun kemampuan kewangan Kerajaan Negeri agak terbatas.

Apa yang pelik, negeri Barisan Nasional yang lain diberikan geran (tidak perlu bayar balik) seperti Pahang yang menerima RM1.34 bilion, Pulau Pinang menerima RM1.4 bilion dan Johor menerima RM792 juta dalam RMK11. Sedangkan Kelantan (dan Terengganu ketika zaman PAS) diberikan pinjaman dengan faedah. Ini bukti Kelantan dianaktirikan oleh Kerajaan Pusat hanya kerana ditadbir oleh PAS.

Sememangnya usaha Kerajaan Barisan Nasional ketika itu mahu menekan Kerajaan Negeri Kelantan secara sistematik sebagai satu bentuk hukuman kepada rakyat Kelantan yang memilih PAS pilihan raya ketika itu.

Jadi apakah adil kita menyalahkan Kerajaan Negeri Kelantan yang telah sedaya upaya mengharungi tekanan dan kezaliman kerajaan pusat dalam memberikan perkhidmatan air yang terbaik? 

Kini Anwar Ibrahim kembali ke Kelantan dengan janji RM1.7 bilion bantuan bagi menyelesaikan masalah air Kelantan dengan dimulakan pembinaan loji air Tok Bali dengan peruntukan geran RM500 juta. Apa yang pelik, projek ini sudah dalam fasa tender melalui PAAB sebagai pinjaman. Takkan Anwar Ibrahim nak kencing rakyat Kelantan? 

Apa pun jangan jadi sebagai janji pilihan raya semata-mata. Selepas pilihan raya, dan PH-BN kalah teruk, projek sekali lagi lagi dibatalkan. 

NURUL ISLAM MOHAMED YUSOFF – HARAKAHDAILY 19/6/2023

Sumber Asal: https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=pfbid021gGSJSkjHGzriouJPx8yVx8e5SHNaucTHMk6bj42Ujggk8phcZY7PV7y4bS1srwDl&id=650875906&mibextid=Nif5oz 

Postscript: Siri 3 akan mengupas apa yang Menteri KASA dan Kerajaan PERIKATAN NASIONAL berjaya buat dalam masa yang singkat bagi memperbaiki bekalan air Kelantan.

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -
- Advertisement -