
KEBELAKANGAN ini, banyak isu berkenaan Air Kelantan timbul di media sosial. Apatah lagi menjelang Pilihan Raya Negeri, Air Kelantan menjadi lubuk serangan kepada Kerajaan Negeri Kelantan. Benarkah Kerajaan Negeri Kelantan dan Air Kelantan gagal menguruskan bekalan air dengan baik?
Saya mulakan penulisan kali ini dengan menjelaskan serba sedikit mengenai infrastruktur asas sistem bekalan air untuk kefahaman semua. Segalanya bermula dengan bekalan air mentah (raw water) yang diambil dari pelbagai sumber. Sungai merupakan punca air mentah yang utama, namun terdapat juga sumber air dari empangan dan juga air bawah tanah bagi tempat-tempat yang gagal mendapatkan sumber air sungai atau empangan yang sesuai.
Air mentah ini kemudian akan disalurkan ke loji rawatan air untuk diproses. Loji rawatan air ini menggunakan pelbagai sistem mengikut jenis air mentah dan juga kapasiti pengeluaran. Air yang sudah dirawat akan dihantar ke kolam takungan imbangan (balancing reservoir) sebelum dihantar ke kolam takungan perkhidmatan (storage tank) dan disalurkan kepada pengguna melalu paip agihan.
Mana-mana negeri memerlukan 3 unsur ini bagi menjamin bekalan air yang efisien. Bekalan air mentah yang berkualiti dan mencukupi, loji rawatan air yang mencukupi kapasiti pengeluaran dan sistem paip agihan yang efisien.
Negeri Kelantan tidak mempunyai sebarang masalah dengan bekalan air mentah. Dikurniakan jaringan sungai-sungai serta kejayaan Air Kelantan mengeksplorasi penggunaan air bawah tanah membawa kepada bekalan air mentah yang mencukupi.
Loji rawatan air merupakan infrastruktur kedua yang penting bagi sistem bekalan air. Keperluan air secara lojiknyakan meningkat apabila meningkatnya penduduk dan pembinaan projek perumahan yang baharu. Kelantan juga memerlukan penambahan loji air bagi menampung peningkatan permintaan air terawat ini. Pada 2020, Kelantan membekalkan air ke 64.5 peratus kawasan bandar dan 78.9 peratus kawasan luar bandar. Angka ini sememangnya rendah berbanding negeri lain, namun perlu diingat angka yang rendah ini antaranya juga adalah disebabkan ramai pengguna di Kelantan menggunakan air alternatif seperti boring air bawah tanah.
Sistem paip agihan juga perlu diberi perhatian. Air tidak terhasil atau Non-Revenue Water (NRW) merupakan air yang telah diproses namun tidak sampai ke pengguna. Negeri Kelantan antara negeri mencatatkan NRW yang tinggi sebanyak 51.73 peratus pada 2020. Kebanyakkan air terawat ini hilang disebabkan jaringan paip agihan yang usang dan bocor bawah tanah. Untuk mudah faham, kita beli air teh ais bungkus, tapi plastiknya bocor. Sampai rumah tinggal separuh. Anggaran paip usang yang perlu ditukar adalah 3,005 kilometer dan memerlukan belanja RM1.7 bilion.
Bagi mempunyai sistem bekalan air yang efisien, Air Kelantan perlu memiliki loji rawatan air yang mampu mengeluarkan air terawat mencukupi keperluan dan juga perlu memiliki jaringan paip agihan kepada pengguna yang berkualiti. Siri ke 2 akan mengupas punca mengapa Air Kelantan gagal menyelesaikan isu yang berlaku di atas.
NURUL ISLAM MOHAMED YUSOFF – HARAKAHDAILY 5/6/2023
Sumber Asal: https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=pfbid0Ks8RiUH7g2rbJq2PfQjHMCBCPXyT3QH97h5nk4A9QjFLRe7qAHNSzUpH6pRAbMYGl&id=650875906&mibextid=Nif5oz
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.











