
KUALA LUMPUR: Senator Datuk Bobbey Ah Fang Suan meminta kerajaan menyatakan keberkesanan sukan elektronik (E-sukan) kepada belia di luar bandar berbanding belia di bandar.
“Setakat ini, apakah keberkesanan ataupun sambutan E-sukan kepada belia di luar bandar berbanding kepada mereka yang dibandar memandangkan medium yang digunakan adalah berupa elektronik,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Negara, di sini, hari ini.
Merujuk kepada soalan asal, Bobbey meminta kerajaan menyatakan sejauh mana perkembangan fasiliti dan kemudahan E-sukan telah dibangunkan oleh kementerian bagi memenuhi keperluan para belia.
Dalam jawapannya, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim berkata, penggiat E-sukan telah melebihi 10 juta belia di luar bandar dan di bandar.
Namun begitu, kementerian menggalakkan penggiat E-sukan melibatkan diri dan berkunjung ke anjuran E-sukan yang berdekatan.
“Pendekatan E-sukan merupakan peluang belia yang lebih baik malah, mampu melahirkan atlet profesional secara maya,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/6/2023




















