
KUALA LUMPUR: Terdapat banyak aplikasi al-Quran dalam alam maya sekarang ini, namun persoalan yang timbul adalah sejauh mana kawalan terhadap pelbagai syarikat atau individu yang menjualnya boleh dilaksanakan.
Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) berkata, teknologi aplikasi di alam maya juga berpotensi ke arah menyalahgunakan terjemahan kitab suci al-Quran yang sedia ada.
“Saya tidak menafikan bahawa aplikasi Smart Al-Quran merupakan satu inisiatif yang kerajaan lakukan dalam memelihara kesucian kitab al-Quran itu sendiri.
“Cuma saya tertanya adakah Undang-undang di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sendiri dapat mengekang mana-mana aplikasi al-Quran yang bercanggah dengan terjemahan Smart Al-Quran itu sendiri?” tegasnya ketika mengajukan soalan tambahan pada sesi pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Menjawab soalan itu, Timbalan Menteri Kementerian Dalam Negeri (KDN), Dato’ Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah, berkata beliau tidak boleh menjawab bagi pihak SKMM kerana isu tersebut berada di bawah kekuasaan kementerian tersebut.
Namun, ahli parlimen Lenggong itu menyatakan bahawa segala pindaan yang ingin dilakukan melibatkan banyak perkara yang perlu diambil kira.
“Oleh sebab itu, kami menyediakan Smart Al-Quran sebagai langkah alternatif, yang menyaksikan kami bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan SKMM agar dapat digunakan oleh setiap rakyat,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/5/2023




















