
KUALA LUMPUR: Pelupusan teks kitab suci al-Quran perlu dilaksanakan mengikut garis panduan yang telah ditetapkan.
Wan Hassan Mohd Ramli (PN-Dungun) berkata, walaupun al-Quran telah rosak atau tidak sempurna, ia perlu dilupuskan secara baik demi memelihara kesucian serta kehormatan.
“Sejauh manakah spektrum perundangan pada waktu ini, sebelum daripada pindaan ini telah berfungsi bagi memelihara al-Quran dan juga memastikan cetakan-cetakan al-Quran yang tidak sempurna?.
“Atau Al-Quran yang dicetak sedia ada dilupuskan berdasarkan kepada kerosakan dan juga yang tidak boleh digunakan, perlu ada garis panduan yang jelas bagi memastikan Al-Quran itu, walaupun sudah rosak ia dapat dilupuskan secara yang baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika perbahasan Rang Undang-Undang Pencetakan Teks Al-Quran (Pindaan) 2023 di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Seterusnya, beliau mempersoalkan, bentuk kesalahan yang telah dilakukan dalam akta bagi konteks pencetakan al-Quran sebelum daripada pindaan yang telah dibuat.
“Di peringkat negeri, adakah rujukan juga dibuat dengan pihak berkuasa negeri iaitu Jabatan Agama Islam Negeri-negeri bagi memastikan penguatkuasaan dari seluruh negara dapat dijalankan secara komprehensif?” katanya. – HARAKAHDAILY 22/5/2023




















