
JERAI: Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berikrar akan mengusahakan ke satu peringkat bagi memulakan projek Kedah Aerotropolis walaupun terpaksa dikemudiankan pembinaan terminal dan landasan kapal terbang.
Jelasnya, ini kerana komponen-komponen lain itu berada di bawah kuasa Kerajaan Negeri, melainkan hanya terminal dan landasan sahaja tertakluk kepada kelulusan daripada Kementerian Pengangkutan (MOT).
Tegas beliau, Kedah tidak membantah Pulau Pinang mahu membesarkan lapangan terbang di negeri itu dan hanya meminta kebenaran daripada MOT dan Kerajaan Persekutuan untuk melaksanakannya.
Jelas beliau, projek tersebut adalah katalis yang akan menganjakkan kekayaan di Pantai Barat negeri Kedah masuk ke tengah kerana akan mengandungi komponen lebuh raya baharu daripada Changkat Jering ke Padang Besar.
Juga beritahunya akan ada jajaran landasan berkembar keretapi yang baharu untuk membawa kargo-kargo besar di mana semua aktiviti ekonomi dan kekayaan ini akan meluas masuk ke dalam bahagian lain negeri.
“Masuk ke kawasan orang Melayu yang mendiami kawasan Timur Kedah. Ini yang orang (lawan politik) susah hati. Besar hat kita nak buat ni bagi orang nampak. Maka mereka sedaya upaya akan pastikan projek ini dapat diblok (dihalang) daripada dibangunkan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam pidatonya pada Himpunan Jentera Pilihan Raya PERIKATAN NASIONAL Negeri Kedah di Dewan Serbaguna dan Padang Awam Guar Chempedak, di sini malam tadi.
Katanya, projek tersebut di mana antaranya melibatkan komponen pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) telah dibantah oleh Kerajaan Pulau Pinang yang diterajui oleh DAP.
Oleh kerana bantahan itu jelasnya, KXP akan memfokuskan urusan kargo berbanding penumpang dengan di sampingnya terdapat lot komersial, kediaman dan industri serta dua landasan melibatkan hubungan industri ke luar negara.
“Saya namakan projek KXP itu Kedah Aerotropolis mengubah sikit konsep untuk kargo dan passengers. Kita buang passengers pasal Pulau Pinang complaint. Kita buat kargo. Habis dah RM30 juta dalam tempoh tujuh tahun melobi, buat kajian lantik lima konsultan.
“Empat dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan, satu dibiayai oleh kerajaan negeri. Lima-lima konsultan ni kata KXP projek yang viable untuk dibuat. Sampai satu kajian kata buat airport di Kulim, tutup airport di Bayan Lepas. Ada kajian sampai macam tu. Tapi kita tak pergi ekstrem.
“Kita nak kargo di Kulim, passenger di Bayan Lepas. Kita usaha sungguh-sungguh siang malam, rata dunialah. Hangpa pi tengok di Luxembourg, pi tengok di China. Tengok model, bagaimana orang buat lapangan terbang kargo keluar daripada konsultan, kargo ini kargo macam-macamlah.
“Kita nak gagaskan Kedah Aerotropolis menjadi ‘The Main Piece of South East Asia’. Kita nak jadi macam Luxembourg di Europe, pusat kargo. Oleh kerana Kedah ni duk center di Asia Tenggara, semua kargo seluruh dunia akan dipusatkan di situ dan akan jadi pusat pengagihan barang daripada KXP Kedah Aerotropolis,” jelasnya.
Namun kesali Sanusi, dengan sebanyak itu telah dilakukan, tiba-tiba tanpa perundingan, taklimat, pertemuan, bertanya dan membaca fail-fail yang telah dihantar sebelum ini, Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim umumkan KXP tidak dapat dipertimbangkan pada waktu ini.
“Siapa tak hangat? Tak panas. Panas tak apa jangan koyak. Projek tu tak akan ambil duit Persekutuan. Duit daripada investors. Tak kiralah siapa investors tu. Asalkan bukan duit Persekutuan. Pasal kita mohon duit Persekutuan dua kali, dua-dua reject. Tak apa, tak mahu bagi duit sudah.
“Tapi hangpa beri kebenaran kami nak mula dah. Bila kita nak buat projek, kita dah buat promosi. Semua syarikat kargo antarabangsa di dunia ni sampai London, sampai Luxembourg, sampai China, semua setuju dah nak mai di Kedah Aerotropolis ni. Dah signed MoU.
“Bila PM pi bercakap macam tu dalam pembentangan Belanjawan, syarikat ni terpinga-pinga. Hangpa bohong kami ke? Sekali habis duit saja je. Dia ingat kecil ke kesan cakap macam itu? Habis duit hoi, tak pikiaq dulu nak bercakap. Kalau tak mahu bagi jangan sebut lagi.
“Pasal memberi kesan besar kepada usaha orang. Tu hat saya marah tu. Lepas tu tiba-tiba dia kata Tan Sri Syed Mokhtar (al-Bukhary) tak bersedia laksana projek tu. Tan Sri Syed Mokhtar tu deal dengan kita, bukan deal dengan dia (Anwar).
“Bukan Tan Sri Syed Mokhtar seorang yang kita pilih. Ada banyak lagi syarikat yang ada kemampuan. Tapi saya ni berjiwa Melayu, berjiwa anak Kedah, saya nak orang Kedah terbabit dengan projek itu. Tan Sri Syed Mokhtar orang Kuala Kedah, orang Alor Setar. Anak Kedah.
“Dia syarikat Bumiputera, syarikat Melayu. Maka saya pilih dia satu. Pilih satu grup lagi, nama dirahsiakan. Depa ni JV. Tiba-tiba dia (Anwar) kata Tan Sri tak bersedia. Tan Sri tak jawab lagi pun surat kita. Dia (Anwar) pi jawab dulu di Parlimen.
“Besar kesan kepada pengumuman itu. Banyak syarikat terpaksa kita ulang pi balik. Pi jumpa balik. Bagi explaination, yang tarik diri kita pi pujuk. Ingat senang ke?” ujarnya menyebut beberapa syarikat bersetuju terlibat dengan Kedah Aerotropolis.
Antaranya syarikat sekolah penerbangan terkemuka dunia berpangkalan di London iaitu L3Harris dan Boeing yang bersetuju untuk membuka pusat dismental pesawat, selain adanya pengubahsuaian, penyelenggaraan dan pembaikan (MRO). – HARAKAHDAILY 14/5/2023




















