
SHAH ALAM: Jaminan yang diberikan adalah kepimpinan yang bersih dan stabil sekiranya Perikatan Nasional (PN) menang.
Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, PN merupakan parti yang amat menekankan kepimpinan yang bersih dan tidak bersifat ekstrem berbanding dengan parti-parti lawan.
“Kami sebagai parti PN sangat menghargai semua kaum berbeza dengan Pakatan Harapan (PH) kerana lihat sendiri tuntutan PH dan Barisan Nasional sendiri (BN) yang bersimpang siur,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa buktinya adalah melalui sifat mereka (PH dan BN) itu sendiri, yang mana jika tidak menerima tuntutan, maka mereka akan lari ke pihak lain.
Tambahan pula, beliau menyatakan bahawa ini adalah satu daripada sifat mereka yang jenis berpolitik ikut cara ekstreme seolah-olah hanya mereka sahaja yang perlu diberikan perhatian dalam apa sahaja keadaan.
“Berbeza dengan kami (PN) mempunyai cara memerintah kerana kami amat mementingkan kepentingan bersama dan bukannya peribadi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam sidang media pada acara Rumah Terbuka PAS di Pusat Perniagaan Worldwide 2, di sini, semalam.
Sanusi turut memberi amaran supaya berhati-hati dengan amalan ekstrem yang dilakukan oleh PH dan BN.
“Tuntutan politik yang bersifat sebegitu amat berbahaya untuk negara kita dan oleh sebab itu, kita perlu menghalangnya daripada berlaku,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/5/2023




















