
KUALA LUMPUR: Dewan Negara diberitahu Malaysia mengalami trend penurunan kadar kelahiran baharu dalam tempoh lebih 40 tahun.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Aiman Athirah Sabu berkata, Kadar Kelahiran Kasar (CBR) di Malaysia menunjukkan trend penurunan sejak kebelakangan ini.
Katanya, bagi mengatasi masalah itu kerajaan memberi inisiatif kepada pasangan mendapatkan rawatan kesuburan dengan pengecualian cukai bagi rawatan kesuburan sehingga RM6,000 menerusi Bajet Tahun 2020 sehingga sekarang.
“Program Bantuan Subsidi Rawatan Permanian Beradas juga disediakan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) kepada klien kesuburan.
“Bagi penjawat awam pula kemudahan tuntutan daripada majikan bagi perbelanjaan rawatan kesuburan masih berkuatkuasa melalui Pekeliling Perkhidmatan Awam,” katanya di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai yang meminta kerajaan memberi penjelasan mengenai langkah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bagi menghadapi situasi itu.
Ketika membangkit soalan tambahan Dr Dominic Lau mencadangkan kerajaan memberi inisiatif kelahiran kepada rakyat Malaysia bagi menggalakkan kadar kelahiran.
“Seperti di Singapura, mereka mengadakan pelbagai program termasuk pemberian wang tunai seperti Baby Bonus Scheme bagi kelahiran pertama.
“Di Finland kerajaan memberi kit permulaan merangkumi pakaian, mainan, minuman kepada bayi yang baharu lahir,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/4/2023




















