
KUALA LUMPUR: PAS tidak menolak kemungkinan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap seorang pengguna Twitter yang dikenali sebagai Pak Armin Amin kerana mengeluarkan pelbagai kenyataan berniat jahat yang jelas menghina parti itu.
Ketua Penerangan Pemuda PAS Selayang, Naim Shukry berkata, pendirian pihaknya setakat ini adalah menyerahkan kepada pihak berkuasa tempatan untuk melakukan siasatan berhubung perkara tersebut terlebih dahulu.
“Sebab itu kita ambil tindakan awal dengan membuat laporan polis. Kalau pihak berkuasa sudah ambil tindakan, kita serahkan kepada mereka untuk untuk langkah selanjutnya,” katanya kepada HarakahDaily ketika ditemui selepas membuat laporan polis pada jam 9 pagi ini di Ibu Pejabat Daerah (IPD), Gombak.
Naim turut diiringi beberapa ahli PAS yang lain termasuk Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Kawasan Gombak, Mohamad Suffi Kamari.
Dalam hantaran Twitternya, @armanamin330 yang dimuat naik 14 jam lepas pada hari ini, Selasa (7 Mac), Pak Armin Amin melabelkan Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sebagai ‘50 tahun Hadi Awang hidup di dunia ni kerja dia penghasut saja’.

Dalam hantaran lain di Twitternya pada 21 jam lepas, Pak Arman Amin menghina PAS dengan melabelkan parti itu sebagai ‘Parti Iblis Semalaysia semakin melampau sampai nak jahanamkan negara’.
Sementara melalui satu lagi hantaran Twitternya bertarikh 6 Mac 2023, Pak Arman Amin turut melemparkan tohmahan terhadap Naib Presiden PAS merangkap Ahli Parlimen Bagan Serai, Senator Datuk Ustaz Idris Ahmad.
Hantaran Twitter itu mengaitkan Idris dengan kumpulan penyanyi Korea Selatan, Blackpink yang baru-baru ini mengadakan konsert di Kuala Lumpur yang berbunyi: “Ust Idris Ahmad yang luluskan kemasukan Black Pink.”
Lebih bersifat fitnah yang sangat berbahaya adalah dua hantarannya pada 6 Mac 2023 yang mengaitkan PAS dengan kumpulan militan Islam (IS) yang berbunyi: “Patutlah IS muncul kembali sebab nak bantu PAS” dan “Jatuh saja kerajaan ni kumpulan Islamic State Daesh PAS Taliban akan muncul.”
Menjelaskan lebih lanjut, Naim berkata, PAS merupakan parti politik dan tidak pernah menyokong mana mana gerakan puak pelampau dan pengganas termasuklah Daesh kerana parti itu lebih menyokong keamanan berbanding tindakan keganasan.
“Buktinya, PAS turut menentang gerakan politik yang bersifat rasis dan melalui Dewan Perhimpunan Penyokong PAS, ramai rakyat Malaysia bukan Islam menyokong PAS.
“Tindakan tegas perlu diberikan sebagai pengajaran yang sewajarnya kerana akaun Twitter Pak Arman Amin telah membuat tuduhan yang tidak berasas dan cubaan untuk menakutkan ahli-ahli PAS dan pengundinya,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/3/2023




















