
ANKARA: Arab Saudi dan Turkiye memuktamadkan perjanjian yang telah lama ditunggu-tunggu untuk oleh Saudi khususnya untuk melabur sebanyak AS$5 bilion (RM22.3 blion) dalam Bank Negara Republik itu (CBRT) di Ankara.
Deposit itu akan memberikan rangsangan besar kepada ekonomi Turkiye – yang kini sedang bergelut impak gempa bumi yang dahsyat pada Feb lalu dan peningkatan inflasi – menjelang pilihan raya parlimen dan presiden pada 14 Mei ini, lapor Arab News.
Saudi Fund for Development (SPD) dalam kenyataannya berkata perjanjian itu bukan sahaja bukti kerjasama erat dan hubungan bersejarah antara kedua-dua negara dan rakyatnya yang bersaudara, tetapi juga menunjukkan komitmen kerajaan Saudi dalam menyokong usaha Turkiye untuk kembali mengukuhkan ekonominya.
Selain Saudi, Ankara telah berusaha untuk menyatukan hubungan ekonomi dan perniagaannya dengan rantau Teluk, termasuk Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dengan mendapatkan aliran masuk mata wang asing.
Seorang ahli ekonomi dari Dinamik Yatirim, di Istanbul, Enver Erkan memberitahu Arab News bahawa deposit berjumlah AS$5 bilion yang akan dilaburkan dalam CBRT dijangka menyumbang secara kritikal kepada ekonomi Turki dalam memulihkan kerosakan dalam sektor kewangannya, impak tragedi gempa bumi, serta persediaan menghadapi pilihan raya parlimen dan presiden yang semakin hampir menjelang 14 Mei ini.
Anggaran awal meletakkan kos kerosakan akibat gempa bumi bersiri di Turkiye mencecah AS$34 bilion – kira-kira 4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ekonomi tahunannya.
Konfederasi Perusahaan dan Perniagaan Turkiye (TEBC) telah mengira angka (kerosakan) itu menncecah kepada AS$84.1 bilion, terutamanya berkaitan dengan sektor perumahan – yang menyaksikan ribuan kediaman penduduk rosak atau musnah sepenuhnya, khususnya di 10 wilayah selatan dan tenggara Turkiye yang dilanda gempa bumi dahsyat berkenaan.
“Memandangkan defisit akaun semasa Turkiye mungkin berada dalam lingkungan AS$30 bilion hingga AS$40 bilion tahun ini, sumber pembiayaan adalah amat penting.
“Usaha pembinaan semula di wilayah-wilayah yang dilanda gempa bumi juga memerlukan sokongan kewangan untuk membiayai kerosakan ekonomi dan mengekalkan kadar pertukaran yang stabil dalam tempoh ini,” kata Erkan.
Lira Turkiye kehilangan 30 peratus nilainya berbanding dolar Amerika Syarikat tahun lalu dan negara itu menghadapi kekurangan rizab mata wang asing yang serius sejak lima tahun lalu.
Negara itu juga terjejas teruk oleh kenaikan harga tenaga selepas pencerobohan Rusia ke atas Ukraine, kerana sangat bergantung kepada bahan import.
Susut nilai lira Turkiye ditambah dengan kadar inflasi berterusan yang tinggi, yang telah mencecah kos sara hidup di negara itu.
Sarjana Residen Kanan di Arab Gulf States Institute di Washington, Robert Mogielnicki memberitahu Arab News bahawa Saudi telah menjalin hubungan dengan nagera-negara serantau sejak sekian lama – tidak menghairankan bahawa Turkiye kini menjadi tumpuan. Arab Saudi sanggup membuang sebahagian daripada sumbangan kewangannya di seluruh rantau ini untuk mendapatkan status kepimpinan serantau.
“Namun sokongan ekonomi ini datang pada masa Turkiye adalah rakan kongsi yang lebih lemah dan sangat memerlukan bantuan. Setakat ini, ia mungkin permulaan hubungan yang lebih baik, hubungan baharu ini akan ditentukan sebahagian besarnya berdasarkan syarat-syarat yang telah ditetapkan Saudi,” katanya.
Pada 3 Mac lalu, Turkiye dan UAE menandatangani perjanjian perkongsian ekonomi komprehensif untuk mengurangkan 93 peratus tarif ke atas perdagangan bukan minyak dan meningkatkan perdagangan dua hala daripada AS$19 bilion kepada AS$40 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang.
Sementara itu, Perjanjian Turkiye dengan UAE pula dijangka akan disahkan pada suku kedua tahun ini.
Pakar strategi pasaran baru muncul yang berpangkalan di London di BlueBay Asset Management, Timothy Ash pula berkata deposit pertukaran asing di CBRT tidak akan memberi banyak kesan dari segi sokongan terhadap bantuan akibat gempa bumi, tetapi ia akan membantu ke arah menyokong kestabilan mata wang dan politik Turkiye.
“Saya fikir terdapat lebih banyak cara langsung dan berkesan untuk menyediakan bantuan gempa bumi dengan wang itu.
“Perjanjian kewangan terbaharu itu (dengan Arab Saudi) akan membantu CBRT menyokong lira Turkiye sambil memberikan kestabilan menjelang pilihan raya, sekali gus membantu Presiden Recep Tayyip Erdogan untuk menyambung satu lagi penggal dalam jawatannya itu,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/3/2023




















