Tetap bantu rakyat walau tiada peruntukan kerajaan

Penduduk Tangga Baru, di Melaka tetap disalurkan bantuan oleh PAS biarpun tiada peruntukan daripada kerajaan pusat pada tahun ini. (FOTO: HARAKAHDAILY/Shamsahir Shamsudin)
- Advertisement -

AYER KEROH: Bantuan pakaian seragam sekolah bagi pelajar-pelajar dari keluarga kurang berkemampuan tetap disalurkan walau pun Ahli-ahli Parlimen pembangkang tidak mendapat peruntukan kerajaan madani.

Menurut Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) Tangga Batu, Bakri Jamaluddin, bantuan kepada rakyat itu dapat diberikan melalui sumbangan ahli-ahli, penyokong PAS dan orang ramai yang bermurah hati memberikan sumbangan.

- Advertisement -

Seramai 100 orang pelajar sekolah rendah daripada keluarga kurang berkemampuan dari seluruh kawasan Tangga Batu menerima bantuan untuk membeli pakaian persekolahan.

Setiap pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan ini menerima bantuan bernilai RM100 setiap seorang di mana mereka akan membeli pakaian tersebut di Pasar Raya Mydin.

“Kalau tuan-tuan lihat di Parlimen perbahasan kami, bagaimana sehingga hari ini Ahli-ahli Parlimen dari kalangan pembangkang sehingga hari ini belum dibagi lagi duit peruntukan oleh kerajaan. Namun Ahli Parlimen parti kerajaan sudah dapat peruntukan.

“Walaupun tak dapat peruntukan, insya-Allah, kita yakin rezeki ini Allah yang beri. Rezeki ini anugerah Allah SWT. Sebab itu, daripada Pejabat Parlimen saya pun alhamdulillah kita dapat memberi khidmat buat masyarakat,” kata Bakri.

Bakri Jamaludin (depan, kanan) pada majlis perasmian Program Bantuan Kembali Ke Sekolah anjuran Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan (LKK) PAS Kawasan Tangga Batu dan Pusat Khidmat Parlimen di Mydin MITC, Melaka pada 5 Mac 2023.

Tambah beliau, Pusat Khidmat Parlimennya tetap dapat memberikan bantuan kepada masyarakat seperti bantuan lampin pakai buang dan katil pesakit hasil daripada sumbangan ahli PAS dan orang ramai.

“PAS kawasan dan Pusat Khidmat Parlimen hanya bertindak umpama transit terhadap sumbangan daripada para penyumbang yang ingin berkongsi pahala membuat kebajikan.” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis perasmian Program Bantuan Kembali Ke Sekolah anjuran Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan (LKK) PAS Kawasan Tangga Batu dan Pusat Khidmat Parlimen yang berlangsung di Mydin MITC di sini, pada Ahad.

Turut hadir ialah Pengerusi LKK PAS Kawasan Tangga Batu, Izahari Ismail dan Ketua Dewan Muslimat kawasan, Anidah Haron. 

Bakri yang juga merupakan Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka juga berkata, program bantuan persekolahan ini telah dimulakan oleh PAS kawasan ini sejak beberapa tahun yang lalu. 

“Ini bukan yang pertama kali. Pada awalnya dahulu kita bagi beg sekolah. Selepas itu kita bagi alat-alat tulis. Pada tahun lepas kalau tak silap saya, kita bagi pakaian. Namun masalahnya bila kita bagi pakaian, ambil ukuran, kadang-kadang pembekal bagi ukuran yang tak sama.

“Namun alhamdulillah pada tahun ini, anak-anak yang terpilih dari kalangan keluarga yang kurang mampu kita bawa terus ke Mydin supaya mereka boleh pilih sendiri kelengkapan sekolah seperti kasut dan sebagainya,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/3/2023

- Advertisement -