
Nicola Sturgeon telah dituduh melampaui kuasanya dengan memperkenalkan pembaharuan tentang hak asasi transgender yang memungkinkan undang-undang kesaksamaan jantina di seluruh United Kingdom dirangka semula.
Di bawah rang undang-undang ‘pengenalan diri’ (‘self-ID’) atau ‘undang-undang jantina Sturgeon’ yang dicadangkan oleh Menteri Pertama dan Ketua Parti Kebangsaan Scotland (SNP) itu sebelum ini, sesiapa yang menukar jantina mereka secara sah di Scotland akan diiktiraf sebagai jantina yang bertentangan di seluruh Britain, lapor Daily Mail UK.
Ini bermakna seorang lelaki secara biologikal seawal 16 tahun akan mempunyai hak untuk bersekolah di sekolah perempuan, dan seorang banduan lelaki boleh menuntut untuk ditempatkan di penjara wanita walaupun mereka tidak hidup sebagai seorang wanita.
Seld-ID pula bermaksud apabila seseorang pekerja secara sah mendedahkan identiti kepelbagaian mereka kepada majikan mereka, termasuk bangsa/etnik; golongan lesbian, gay, biseksual, transgender dan pelik (LGBTQ); status veteran; atau hilang upaya.
Kajian oleh kumpulan badan pemikir pemikir konservatif British yang berpangkalan di London, Policy Exchange menyimpulkan pada Rabu (11 Jan) bahawa pembaharuan yang dirancang Sturgeon adalah sangat serius, dan menggesa kerajaan UK agar mengambil bahagian dan menghentikannya daripada dijadikan undang-undang.
Dalam kata pengantar, bekas Ketua Peguambela Scotland, Lord Keen dari Elie menulis: “Ia (undang-undang ‘self-ID’ Sturgeon) bukan sahaja tidak praktikal tetapi dari segi perlembagaan tidak wajar bagi kerajaan UK untuk membenarkan badan perundangan dicadangkan untuk menggubal peruntukan yang mempunyai kesan material ke atas operasi undang-undang di seluruh United Kingdom.”
Terdahulu, Rang Undang-undang Pembaharuan Pengiktirafan Jantina (Scotland), yang diluluskan sebelum Krismas 2022, membenarkan orang ramai menukar jantina mereka dengan mendapatkan Sijil Pengiktirafan Jantina (GRC) dalam masa tiga bulan sahaja dan tanpa memerlukan diagnosis perubatan dysphoria jantina.
Dalam kes mahkamah berkaitan bulan lalu, hakim memutuskan bahawa memperoleh GRC telah mengubah jantina seseorang untuk tujuan Akta Kesaksamaan.
Laporan Policy Exchange pada Khamis (11 Jan) sehubungan itu memberi amaran bahawa perubahan dicetuskan Sturgeon itu akan menjejaskan undang-undang kesaksamaan di seluruh UK – lebih jauh daripada kuasa yang diturunkan kepada Scotland.
“Sesiapa sahaja boleh berpindah ke Scotland buat sementara waktu untuk mendapatkan GRC pantas kemudian berpindah kembali ke England, Wales atau Ireland Utara dan diiktiraf secara sah sebagai jantina yang bertentangan.
“Oleh kerana rang undang-undang Scotland menghapuskan keperluan untuk didiagnosis dengan dysphoria jantina atau mengenal pasti sebagai jantina yang bertentangan untuk mendapatkan GRC,” tegas laporan Policy Exchange itu sambil menambah seseorang individu hanya perlu menukar jantina mereka secara sah untuk mematuhi keperluannya.
“Akibatnya, banduan lelaki ‘tanpa identiti transeksual’ juga boleh dan bebas untuk membuat ‘keputusan strategik’ bagi menukar jantina yang sah semata-mata untuk keluar dari penjara lelaki yang berbahaya bermatlamat agar ditempatkan di penjara perempuan.
Di samping itu, Policy Exchange khuatir bahawa mana-mana lelaki biologi berumur di bawah 18 tahun yang memperoleh GRC boleh ‘menuntut akses ke sekolah perempuan sahaja’, kerana mereka tidak boleh didiskriminasi berdasarkan penugasan semula jantina di bawah Akta Kesaksamaan.
Laporan tersebut juga menggesa Setiausaha Scotland, Alister Jack, sepertimana ahli parlimen dan kumpulan hak wanita, untuk menggunakan perintah Seksyen 35 untuk memveto pembaharuan radikal Sturgeon itu.
“Adalah boleh dipertikaikan bahawa Rang Undang-undang ini tidak berada dalam kecekapan Parlimen Scotland, memandangkan kesannya terhadap aspek terpelihara Akta Pengiktirafan Jantina 2004.
“Walaupun itu tidak benar, sudah pasti syarat yang diperlukan untuk membuat perintah Seksyen 35 telah dipenuhi,” tambah laporan Policy Exchange berkenaan.
Sementara kerajaan Scotland dalam kenyataannya berkata bahawa sebarang percubaan oleh kerajaan UK untuk menjejaskan kehendak demokrasi Parlimen Scotland akan dicabar untuk ditandingi dengan bersungguh-sungguh oleh kerajaan Scotland.
“Kami sentiasa jelas bahawa Rang Undang-undang itu tidak memberi kesan kepada Akta Kesaksamaan, dan Rang Undang-undang yang diluluskan meletakkan kedudukan itu tanpa keraguan,” tegas kenyataan itu.
Sementara itu, tidak terkecuali terdapat gesaan agar Wales turut menggunakan sistem yang sama seperti Scotland.
Menteri Pertama Wales, Mark Drakeford berkata Wales akan mengiktiraf sesiapa sahaja yang memperoleh GRC yang dicadangkan Scotland itu.
Beliau mengakui kerajaan Wales tidak mempunyai kuasa yang sama seperti Scotland, tetapi akan mendapatkan pengesahan dari Westminster, UK.
“Kami akan mencari kuasa dan, jika kami memperoleh kuasa itu, kami akan meletakkan kuasa itu untuk berfungsi di sini, di Wales, dan kami akan mengemukakan cadangan di hadapan Parlimen Wales ini,” katanya.
Secara geografi dan sejarah politik, United Kingdom of Great Britain and Northern Ireland (UK) sejak 1922, terdiri daripada empat negara konstituen – England, Scotland, dan Wales (yang secara kolektif membentuk Great Britain), serta Ireland Utara.
Laman web Perdana Menteri UK telah menggunakan frasa ‘negara dalam negara’ untuk menggambarkan UK.
Walaupun UK adalah sebuah negara berdaulat kesatuan, namun Ireland Utara, Scotland, dan Wales telah memperolehi darjah autonomi melalui proses penurunan kuasa.
Parlimen UK dan kerajaan British berurusan dengan semua perkara terpelihara untuk Ireland Utara, Scotland, dan Wales, tetapi bukan dalam perkara umum yang sebaliknya telah diserahkan kepada Perhimpunan Ireland Utara, Parlimen Scotland dan Welsh Senedd.
England, yang terdiri daripada majoriti penduduk dan kawasan UK tetap menjadi tanggungjawab sepenuhnya Parlimen UK yang berpusat di London.
England, Ireland Utara, Scotland dan Wales sendiri tidak tersenarai dalam senarai negara Pertubuhan Antarabangsa untuk Standardisasi (ISO).
Bagaimanapun senarai ISO bagi subbahagian UK, yang disusun oleh British Standards dan Pejabat Statistik Kebangsaan United Kingdom, menggunakan istilah ‘negara’ untuk menggambarkan England, Scotland, dan Wales, namun Ireland Utara sebaliknya, digambarkan sebagai ‘daerah’ dalam senarai yang sama. – HARAKAHDAILY 12/1/2023




















