
Kecerdasan buatan atau Intelligence Artificial (AI) mungkin lebih berkesan berbanding mata manusia semata-mata untuk mengesan tanda-tanda awal kanser usus atau kolorektal.
Penyelidikan terbaharu saintis di United Kingdom kini sedang dilakukan sama ada menambah teknologi AI – yang menggunakan algoritma komputer untuk mengimbas dan membaca imej – kepada pemeriksaan kolonoskopi standard – mampu meningkatkan ketepatan imbasan yang boleh mengesan kanser usus pada manusia khususnya yang terlepas pandang hasil pemeriksaan doktor.
Lebih daripada 42,000 orang didiagnosis dengan kanser usus di UK setiap tahun dan 16,000 daripadanya meninggal dunia, menjadikannya punca kedua paling biasa kematian akibat kanser di negara itu.

Kolonoskopi selama ini adalah cara ‘standard’ untuk mendiagnosis penyakit tersebut, yang mana teknologi itu membolehkan usus besar diperiksa menggunakan kamera yang dipasang pada tiub nipis dan fleksibel.
Kamera menyampaikan imej langsung dari dalam usus ke skrin, membenarkan doktor yang menjalankan prosedur untuk memeriksa polip pra-kanser dikenali sebagai adenoma – ketumbuhan kecil yang boleh ditemui pada dinding usus.
Adalah dipercayai bahawa kanser usus berkembang daripada polip ini dan jika dikesan, ia boleh dikeluarkan semasa prosedur rawatan.

“Namun, walaupun kolonoskopi sangat berkesan, tiga daripada setiap 100 pemeriksaan terlepas daripada mengesan kanser atau polip yang mungkin bersaiz kecil, rata atau tersembunyi di dalam lipatan usus tetapi seterusnya membiak menjadi kanser,” ujar kenyataan Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) di UK.
Sehubungan itu, saintis berharap bahawa mengintegrasikan teknologi AI (yang bukan sahaja membaca imbasan tetapi juga mempelajari tentang keadaan semasa di dalam usus manusia ketika sepanjang ia melaluinya) ke dalam peralatan kolonoskopi sedia ada dapat membantu menyelamatkan lebih banyak nyawa – dengan meningkatkan ketepatan prosedur selama 45 minit, supaya lebih banyak tanda-tanda kanser dikesan pada peringkat awal ketika ia lebih mudah untuk dirawat.
Kotak AI – GI Genius
Dalam percubaan mencari keabnormalan yang sukar ditemui ini, penyelidik di Amerika Syarikat dalam pada itu telah membangunkan ‘kotak AI’ dikenali sebagai GI Genius yang menyambung kepada peralatan kolonoskopi dan menganalisis rakaman video dalam masa nyata pada usus manusia.

Jika ia mengesan sesuatu yang luar biasa, peranti memunculkan kotak hijau pada skrin yang menunjukkan bahagian tepat pada lapisan usus yang memerlukan pemeriksaan lebih dekat, dan membunyikan amaran.
Perubatan yang menjalankan teknik imbasan kemudiannya akan memutuskan sama ada untuk melakukan penyiasatan lebih lanjut.
Sehubungan itu, percubaan pertama saintis di UK untuk menguji peranti AI berkenaan adalah separuh jalan melalui pemeriksaan membabitkian kira-kira sekitar 2,000 pesakit di bawah kendalian NHS.

Pesakit yang mendaftar dalam percubaan sama ada telah menjalani rawatan kolonoskopi sebelum ini atau mengalami gejala seperti darah dalam najis mereka; atau perubahan ketara pada tabiat usus mereka, yang telah mereka laporkan kepada doktor yang memeriksa mereka; atau telah mengambil bahagian dalam Program Pemeriksaan Usus NHS (kit ujian rumah yang dihantar kepada orang dewasa berumur 60 hingga 74 tahun di England, dan dari umur 50 tahun di Scotland).
Separuh daripada mereka yang dalam percubaan akan menjalani kolonoskopi standard, separuh lagi dengan peranti AI.
Sembilan hospital di seluruh England mengambil bahagian dalam percubaan Colo-Detect, kebanyakannya di bahagian Timur Laut, dengan kajian itu diketuai oleh Universiti Newcastle dan South Tyneside dan Sunderland NHS Foundation Trust.

Projek percubaan yang dibiayai oleh syarikat peranti perubatan AS, Medtronic yang mereka bentuk peranti itu, akan berakhir pada bulan April 2023 yang mana penyelidik akan menilai kedua-dua klinikal dan keberkesanan kos teknologi.
Keputusan percubaan pertama AS bagi peranti itu, yang diterbitkan dalam American Journal Gastroenterology pada tahun lepas, menunjukkan pengurangan 50 peratus dalam polip yang terlepas pandang apabila teknologi AI digunakan berbanding kolonoskopi standard.
Mengulas mengenai percubaan baharu itu, pakar onkologi klinikal perunding kanser gastrousus di University Hospitals Sussex NHS Foundation Trust, Dr Duncan Gilbber berkata bahawa kanser kolorektal kekal sebagai cabaran kesihatan awam utama untuk UK.

“Apa yang membimbangkan, ia juga menjadi penyakit biasa yang kini dihidapi golongan yang lebih muda usianya,” tegasnya.
Sehubungan itu menurutnya, pemeriksaan menggunakan kolonoskopi untuk mencari dan membuang polip dan kanser pada peringkat awal telah ditunjukkan berkjaya menyelamatkan nyawa dan apa sahaja – termasuk robot AI – yang membantu meningkatkan keberkesanan kolonoskopi adalah dialu-alukan.
“Menguji teknologi baharu dalam ujian klinikal yang dijalankan dengan betul seperti ini adalah perkara yang perlu kita lakukan dan merupakan contoh bagaimana penyelidikan klinikal NHS menerajui dunia,” katanya.
GI Genius di Singapura
Sejak 2021, pakar di Pusat Pembedahan Raffles, Singapura telah disokong oleh GI Genius, sebagai modul kecerdasan buatan (AI) yang meningkatkan ketepatan kolonoskopi.

Menurut laman web Raffels Medical Group, peranti ini diprogramkan berdasarkan teknologi pembelajaran mesin, menggunakan algoritma serupa yang digunakan dalam banyak aplikasi pengecaman muka.
Semasa kolonoskopi, GI Genius menilai dan memproses setiap bingkai untuk menyerlahkan potensi polip dan tumor.
Ini membantu pakar endoskopi dan pakar menilai keseluruhan kolon dengan lebih tepat, mengatasi cabaran mengenal pasti polip kecil yang mungkin tidak disedari oleh mata manusia.
Pada peringkat awal perkembangannya, polip boleh sekecil beberapa milimeter, yang bermaksud ia tidak dapat dikenal pasti dengan mudah semasa kolonoskopi biasa. Walaupun polip sebesar ini biasanya tidak berbahaya, jika dibiarkan selama bertahun-tahun, ia berpotensi menjadi kanser.
Sehubungan itu, Hospital Raffles merupakan hospital swasta pertama di Singapura yang melaksanakan AI dalam rawatan kolonoskopi.
Ia membantu doktor dalam pemeriksaan kolonoskopi, kolonoskopi pengawasan, dan kolonoskopi diagnostik (untuk menilai gejala seperti perubahan tabiat usus dan pendarahan rektum) untuk mengenal pasti polip dan tumor untuk prosedur rawatan.
Teknologi ini memudahkan doktor membuat keputusan dan tidak menambah risiko tambahan kepada kolonoskopi. – HARAKAHDAILY 11/1/2023




















