Akibat kenaikan mendadak harga hotel di Mekah, Madinah

Pengarah Urusan Persada Global Holidays Sdn. Bhd., Haji Shahir Ibrahim.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kenaikan mendadak harga hotel di Kota Mekah dan Madinah menyebabkan sebahagian agensi pelancongan di Malaysia terpaksa menaikkan harga pakej umrah pada saat-saat akhir sebelum jemaah berangkat ke tanah suci.

- Advertisement -

Pengarah Urusan, Persada Global Holidays Sdn. Bhd., Haji Shahir Ibrahim berkata demikian ketika mengulas tentang faktor kenaikan kadar umrah di Kota Mekah dan Madinah secara mendadak tiga hingga empat kali ganda daripada harga asal.

“Sebenarnya, kenaikan harga pakej umrah sudah lama berlaku sejak Nov dan Dis 2022 hingga Jan, 2023 ini.

“Terdahulu, pada bulan Ogos 2022 lalu, pihak kami dan agensi-agensi pengurusan pelancongan dan umrah lain telah pun dimaklumkan tentang kenaikan harga ini,” jelasnya.

Namun begitu, menurut beliau, disebabkan rata-rata pengendali umrah ini telah menjual pakej umrah sejak Mac dan April 2022 lagi kepada orang awam, menyebabkan jemaah yang telah membayar kepada agensi-agensi terbabit tidak mendapat maklumat awal tentang kenaikan harga pakej umrah.

Berita tentang kenaikan harga umrah sudah diketahui agensi-agensi pengurusan pelancongan umrah di Malaysia sejak Ogos, 2022 lagi. (FOTO: Saudi Gazette)

“Keadaan ini menyebabkan kesukaran bagi kebanyakan syarikat pengendali umrah ini untuk memberitahu orang awam yang telah membayar dan mendapatkan pakej ketika bulan Mac dan April 2022,” ujarnya kepada HarakahDaily.

Beliau turut memberitahu, apa yang telah berlaku pada masa kini, kebanyakan syarikat pengendali umrah terpaksa menunaikan atau menerbangkan juga jemaah pada bulan Nov, Dis dan awal Jan lalu yang telah membuat bayaran pada awal lagi.  

“Akibatnya, mungkin ada sebahagian syarikat pengendali umrah tidak dapat menunaikan janji untuk menyediakan penginapan (hotel) seperti yang ditawarkan pada awal pembayaran dan pembelian pakej umrah kepada jemaah.

“Ada sebahagian jemaah yang dapat apa yang telah dijanjikan oleh syarikat pengendali umrah. Ada juga sebahagian jemaah tidak dapat dengan apa yang dijanjikan oleh syarikat pengendali umrah. 

“Namun begitu, beliau berkata ada juga bakal-bakal jemaah yang ingin menunaikan umrah menarik diri kerana tidak memahami dengan keadaan semasa,” jelasnya lagi.

Hal ini, ujar beliau, telah menyebabkan agensi-agensi yang menguruskan jemaah umrah terpaksa menanggung kerugian yang tinggi.  

“Sementara, bagi syarikat pengendali umrah yang telah memberitahu bakal jemaah mengenai kenaikan harga terbaharu, menyebabkan ada sebahagian bakal jemaah ini yang menarik diri untuk melaksanakan umrah,” katanya.

Harga penginapan di Hotel Al Safwah, Mekah yang dahulu hanya RM500 untuk satu malam kini meningkat kepada RM1,500. (FOTO: Trip.com)

Beliau turut menegaskan bahawa kenaikan harga mendadak oleh pihak hotel juga membuatkan agensi pelancongan tersepit dan tiada pilihan selain menaikkan harga pakej terhadap jemaah umrah.

“Contohnya dahulu, harga asal penginapan untuk bermalam di Hotel Al Safwah yang bertaraf lima bintang, terletak di lokasi berhampiran lingkaran Masjidil Haram hanya RM500 untuk satu malam. 

“Namun, harga terkini telah mencecah tiga kali ganda kepada RM1,500 untuk satu malam. Justeru, peranan dan sikap yang dimainkan oleh pihak hotel di sana turut memberi tekanan kepada agensi-agensi yang menguruskan jemaah umrah. 

“Antaranya, pihak agensi yang mengendalikan umrah ini juga menghadapi kesukaran mendapatkan pengesahan tempahan bilik penginapan walaupun sudah menjelaskan bayaran penuh kepada pihak hotel,” kongsi beliau.

Menurutnya, terdapat sebahagian pihak pengurusan hotel di sana yang tidak memberikan terus kata putus kepada agensi-agensi ini yang telah membuat tempahan awal bilik penginapan kepada jemaah umrah.

“Kebanyakan pihak hotel akan memberikan jawapan kepada agensi yang menguruskan jemaah ini, seminggu sebelum ketibaan jemaah di tanah suci. 

“Tujuan mereka tidak memberikan kata putus secara awal kepada agensi yang menguruskan adalah untuk melihat kepada harga pasaran semasa.

“Dengan itu, pihak hotel dapat mengenakan harga penginapan yang agak tinggi kepada agensi-agensi yang menguruskan jemaah umrah,” ujarnya.

Beliau menambah, disebabkan masa yang terhad agensi-agensi pengurusan jemaah umrah ini terpaksa bersetuju dengan bayaran yang ditetapkan oleh pihak pengurusan hotel tersebut. 

“Hal ini tutut membebankan agensi-agensi pengurusan jemaah umrah yang terpaksa menanggung beban yang di luar jangkaan,” jelasnya.

Faktor seterusnya, kata beliau lagi, kenaikan harga pakej umrah juga disebabkan hampir tiga tahun Arab Saudi dan negara-negara luar antara bangsa yang menutup pintu sempadan ekoran pandemik Covid-19. 

“Rakyat tidak dibenarkan ke luar negara lain tanpa urusan munasabah.Arab Saudi ketika pandemik Covid-19 melanda, turut menghadkan jemaah untuk megerjakan umrah ketika itu,” ulasnya. 

Hotel-hotel mewah lima bintang semakin banyak dibina berhampiran kota Mekah. (FOTO: MAKKAH-HNT)

Kini, menurutnya, kerajaan Saudi telah pun membuka ruang kepada seluruh jemaah di persada antarabangsa memasuki negara itu untuk mengerjakan umrah.

“Kerajaan Arab Saudi banyak memudahcarakan permohonan visa. Contohnya, pada masa kini, kerajaan negara itu telah membenarkan permohonan visa secara talian untuk mengerjakan umrah dan melancong ke negara itu.  

“Selain itu,harga pengangkutan dan tiket penerbangan juga semakin membebankan khususnya ketika musim kemuncak,” ujarnya.

Tambah beliau, penerbangan yang terhad memasuki Arab Saudi yang terhad turut menyumbang kepada faktor kenaikan kadar umrah di tanah suci itu. 

“Ini berikutan peningkatan jumlah jemaah umrah di seluruh dunia yang ingin mengerjakan ibadah dan melancong ke negara itu apabila kerajaan di negara masing-masing membuka sempadan selepas pandemik Covid-19 beransur pulih,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/1/2023

- Advertisement -