10 gempa bumi gegar Indonesia, utara Australia hari ini

Lakaran peta menunjukkan kesan gempa bumi 7.6 magnitud di luar pantai Timor-Leste, Maluku, Indonesia yang dirasai di Darwin, utara Australia pada 10 Jan 2023. (FOTO ilustrasi: Geosains Australia).
- Advertisement -

JAKARTA/DARWIN: Indonesia digegarkan dengan kejadian gempa bumi sebanyak 10 kali pada hari ini, 10 Jan 2023 yang kesannya turut dialami di bahagian paling utara di wilayah utara Australia, terutama di Darwin.

- Advertisement -

Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik Indonesia (BMKG) berkata, gempa bumi dasar laut pertama menggegarkan tenggara Maluku, dengan magnitud 5.5 pada skala Richter menjelang 01:09.55 WIB (Western Indonesian Time), berpusat di dasar laut pada kedalaman 10 kilometer, kira-kira 162km dari barat laut Maluku Tenggara; sebelum kemunculan gempa bumi kelima – yang paling kuat dengan magnitud 7.9 pada 00:47:34 WIB, 148km dari barat laut Maluku Tenggara pada kedalaman 131km.

Lapan lagi gempa bumi yang menggegarkan Indonesia pada hari ini, menurut laporan Manado Tribune News, adalah dengan magnitud yang lebih rendah – antara 2.5 hingga 4.8 pada skala Ritcher.

Gempa bumi yang turut dirasai di beberapa wilayah, termasuk wilayah Papua dan Nusa Tenggara Timur itu telah memusnahkan kediaman penduduk kampung dan bangunan di timur Indonesia.

Foto ilustrasi gempa bumi 7.6 magnitud di dasar laut berhampiran kepulauan Tanimbar, Maluku, Timor-Leste, Indonesia pada 10 Jan 2023 (Foto via twitter.com/Sumarium/TribunManado.co.id)

Gempa dasar laut 7.6 magnitud menurut Pusat Kajian Geologi AS (USSG) pula yang melanda berhampiran Kepulauan Tanimbar, Maluku, di timur Timor-Leste, awal Selasa (10 Jan) dengan pusat gempa pada kedalaman 95km itu dirasai ratusan kilometer jauhnya, terutamanya di Darwin yang terletak 600km di selatan kepulauan tersebut, lapor ABC pula.

Kira-kira 2,600 penduduk Darwin dan sebahagian besar bahagian paling utara di wilayah utara Australia telah melaporkan kediaman rumah mereka bergegar selepas dikejutkan oleh gempa bumi di Indonesia itu.

Menteri Pengurusan Kecemasan Australia, Murray Watt, dalam kenyataan medianya bagaimanapun berkata bahawa beliau  tidak mendengar sebarang laporan kerosakan di ibu kota Darwin atau tempat lain di wilayah terbabit.

Sebuah kediaman penduduk di kepulauan Tanimbar, Maluku yang mengalami kerosakan selepas dilanda gempa bumi 7.6 magnitud. (FOTO: BNPB/AFP)

Pusat Amaran Tsunami Australia sehubungan itu berkata, tiada ancaman tsunami terhadap tanah besar, pulau atau wilayah di Australia.

Seorang penduduk Darwin, Tracey Wedel, berkata dia bimbang rumahnya akan runtuh akibat gegaran gempa bumi itu.

“Semuanya bergegar dan bergegar, pintu bergegar, saya fikir rumah saya akan runtuh,” katanya.

“Ia benar-benar (gempa bumi) terkuat yang pernah saya rasai. Anjing-anjing di atas jalan raya menyalak dan ia berterusan selama kira-kira dua setengah minit,” tambahnya.

Peta menunjukkkan pusat gempa 7.6 magnitud di kepulauan Tanimbar, Maluku yang terletak 600km di utara wilayah utara Australia. (FOTO: SMH.com.au)

Amy Hetherington yang berpindah ke Darwin 10 tahun lalu pula memberitahu bahawa ini adalah gempa bumi terbesar yang dialaminya di situ.

“Kami berada di rumah Troppo dua tingkat dan dapat merasakan ia bergoyang kuat,” katanya kedengaran cemas.

Ahli sukan Olimpik dan bekas senator, Nova Peris pula menyifatkan pengalaman itu sebagai ‘mengerikan’. 

“Seluruh rumah saya bergegar seperti ‘orang hilang akal’ dan bingkai-bingkai gambar jatuh dari dinding!” ujarnya melalui Twitter.

Kediaman dan bangunan yang rosak teruk akibat gempa bumi di kepulauan Tanimbar, Maluku pada 10 Jan 2023. (FOTO: Tempo.co)

Ketua menteri wilayah berkenaan, Natasha Fyles, dalam pada itu memberi amaran kepada penduduk wilayah supaya bersiap sedia menghadapi gegaran susulan.

Pakar seismologi Australia, Tanja Pejic berkata kejadian yang melanda Nhulunbuy di utara-timur Arnhem Land hingga ke Tennant Creek di tengah-tengah wilayah terbabit disifatkannya  sebagai ‘agak penting’ untuk diberi perhatian serius pada masa hadapan.

“Ada kemungkinan kita akan mengalami gegaran susulan sepanjang magnitud 5.0 atau lebih besar yang mungkin masih dirasai, walaupun saya mengesyaki ia tidak akan dirasai akibat  gempa bumi paling kuat pada magnitud 7.6 itu,” katanya.  – HARAKAHDAILY 10/1/2023

- Advertisement -