Gugur AJK masjid: MAINPP patut hormat keputusan anak qaryah

- Advertisement -

DEWAN Pemuda PAS Pulau Pinang menolak sekeras-kerasnya sebarang campur tangan dan tindakan berbaur politik daripada Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) ke atas jawatankuasa masjid-masjid seluruh Negeri Pulau Pinang. 

- Advertisement -

MAINPP sebagai agensi kerajaan negeri mestilah menghormati keputusan yang telah dibuat oleh anak-anak qaryah yang mengundi Pengerusi dan ahli-ahli jawatankuasa ketika pemilihan jawatankuasa masjid dibuat meskipun sistem pemilihan jawatankuasa diperkenalkan oleh Pakatan Harapan ketika mula-mula memerintah Negeri Pulau Pinang. 

Pengguguran Pengerusi dan Ahli Jawatankuasa Masjid mestilah ditunjukkan bukti dan sebab yang munasabah kerana pengundian yang dibuat oleh anak-anak qaryah masjid adalah telus. 

Tindakan campur tangan ini seakan-akan menunjukkan strategi Pakatan Harapan dalam mendepani Pilihan Raya Negeri yang bakal berlaku tidak lama lagi. Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang mengeji tindakan MAINPP yang mengheret institusi agama ke dalam kancah politik kotor yang membawa fitnah yang besar kepada institusi agama di peringkat negeri. 

Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang mendesak agar agensi Kerajaan Negeri MAINPP tidak dipolitikkan sehingga merugikan umat Islam seluruh negeri dan berharap isu ini dapat diselesaikan dengan cara baik dan segera.

MOHAMAD RAZIS ABDUL RAHMAN
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang – HARAKAHDAILY 3/1/2023

- Advertisement -