Haramkan judi: Komitmen PAS sejahterakan negara

- Advertisement -

BERMULA 1 Januari 2023, tiada lagi pusat judi yang boleh beroperasi di Kedah. Pengumuman mengenai penutupan premis judi di Kedah dibuat pada 14 November 2021 supaya pemilik premis judi mempunyai masa yang cukup untuk membuat perancangan lain dan sebagainya. 

- Advertisement -

PAS mula memerintah Kelantan pada Oktober 1990. Menteri Besar Kelantan, Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat mengumumkan penutupan premis judi dua bulan selepas itu, iaitu pada 8 Disember 1990.

PAS mengambil alih Terengganu pada 30 November 1999. Larangan memperbaharui lesen diumumkan pada 31 Mac 2000. Menteri Besar Terengganu ketika itu adalah YB Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Tindakan PAS mengharamkan judi di ketiga-tiga negeri ini adalah bukti jelas komitmen melawan keburukan judi. Kuasa pada PAS datangnya tanggungjawab sebagai hamba Allah serta amanah pemimpin kepada rakyatnya. 

Judi adalah haram dalam Islam. Ia jelas dalam ayat ke 219, Surah Al Baqarah. Bagi masyarakat Kristian, perjudian adalah tidak digalakkan. Bible menyentuh mengenai keburukan sifat tamak dan pembaziran wang menyebabkan ramai penganut Kristian meninggalkan perjudian. 

Salah satu daripada manuskrip agama Buddha, Digha Nikaya, Buddha sendiri menyenaraikan 6 kejahatan yang boleh berlaku akibat daripada perjudian. Menurut Sikh Rehat Maryada, penganut Sikh tidak dibenarkan berjudi. 

Tanpa kita merujuk kepada ajaran agama, akal yang rasional pun menunjukkan bahawa judi membawa terlalu banyak keburukan berbanding kepada manusia. Menurut Australian Institute of Family Studies, judi meningkatkan keganasan rumah tangga, merosakkan kewangan keluarga dan meningkatkan risiko anak-anak terlibat dalam masalah judi. 

National Council on Problem Gambling di Amerika Syarikat menganggarkan masalah ketagihan perjudian menyebabkan negara berkenaan terpaksa menanggung kos sebanyak 6.7 bilion setiap tahun. 

Individu yang ketagihan berjudi mempunyai risiko yang lebih tinggi berbanding masyarakat umum dalam penyalahgunaan dadah (58%), mood disorder (38 peratus) dan keresahan (37 peratus). Bancian yang dilakukan oleh Gamblers Anonymous terhadap penjudi tegar menunjukkan bahawa dua pertiga responden sudah membuat cubaan membunuh diri dan 77 peratus daripada mereka berkeinginan untuk mati. 

Suatu kajian berkenaan Impak Industri Perjudian ke atas Ekonomi telah dilaksanakan di United Kingdom pada tahun 2021. Kesimpulannya adalah industri perjudian kurang memberi sumbangan kepada ekonomi negara disebabkan ianya mempunyai pengkali ekonomi (economic multiplier) dan pengkali cukai (tax multiplier) yang paling rendah berbanding sektor ekonomi yang lain. Malahan, jika perbelanjaan untuk berjudi berkurangan, dijangkakan ekonomi, jumlah cukai dan peluang pekerjaan dapat dikembangkan dengan lebih pesat.

Langkah menutup pusat perjudian perlu disokong semua pihak. Kerajaan wajar tidak lagi melihat judi sebagai sumber pendapatan negara. Langkah ke hadapan adalah pendidikan dan perundangan dalam menghapuskan perjudian haram. 

Adalah menjadi tanggungjawab kepimpinan yang amanah untuk mencegah 1,001 keburukan daripada judi. Ia adalah bukti kecintaan dan keprihatinan pemimpin kepada rakyatnya. 

DR FIRDAUS AZIM 
Ketua Penerangan 
Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor  – HARAKAHDAILY 3/1/2023

Rujukan:

1. https://muftiwp.gov.my/en/artikel/bayan-linnas/3619-bayan-linnas-siri-ke-207-bahaya-judi 

2. https://christianity.org.uk/article/gambling 

3. https://icma.org/articles/article/gambling-good-economic-development-bet 

4. https://bmcpsychology.biomedcentral.com/articles/10.1186/s40359-022-00785-w 

5. https://aifs.gov.au/resources/policy-and-practice-papers/impact-gambling-problems-families 

6. https://www.smf.co.uk/wp-content/uploads/2021/03/Double-or-nothing-March-2021.pdf 

7. https://www.nst.com.my/opinion/letters/2022/09/835018/buddhist-stance-gambling 

- Advertisement -