
RANTAU PANJANG: Sehingga sekarang semua Ahli Parlimen PERIKATAN NASIONAL (PN) belum menerima sebarang peruntukan daripada kerajaan Persekutuan bagi mengadakan sebarang aktiviti.
Ahli Parlimen Rantau Panjang Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, selepas semua ahli parlimen mengangkat sumpah pada 19 November lalu, belum ada peruntukan diterima daripada kerajaan Persekutuan.
Katanya, sekarang beliau memanfaatkan peruntukan yang diterima daripada kerajaan negeri, aktivis PAS, penyokong PN dan individu.
“Baru-baru ini kami terpaksa membantu hampir 20,000 penduduk di Rantau Panjang yang terlibat dengan banjir,” katanya selepas menerima sumbangan daripada pelbagai pihak bagi membantu mangsa banjir di sini hari ini.
Sumbangan itu diterima daripada pelbagai pihak termasuk NGO, sukarelawan, aktivis parti dan orang perseorangan.
Hadir sama Adun Apam Putra Abdul Rasul Mohamad dan pimpinan masyarakat tempatan.
Siti Zailah yang juga Ketua Dewan Muslimat PAS Kelantan berkata, bantuan banjir yang diterima daripada pelbagai pihak mula diagih selepas banjir mula surut 26 Disember lalu.
Baru-baru ini pemimpin Amanah Kelantan pada lontaran di media sosial mempertikaikan Siti Zailah menggunakan beg plastik berlogo bulan ketika mengagikan bantuan banjir kepada rakyat.
Sebelum ini Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bantuan sebanyak RM100 juta kepada Kelantan dan Terengganu untuk diagih kepada mangsa banjir. – HARAKAHDAILY 3/1/2023











